Kes pembunuhan Altantuya akan terus hantui Najib
Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak cuba menghalang proses keadilan di negara ini apabila menggesa kerajaan Pakatan Harapan berhenti mencari kesalahan dirinya, kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang.
“Adakah Najib mencadangkan bahawa Pakatan Harapan tidak harus membuka semula siasatan ke atas kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu bagi mencari motif pembunuhan tersebut, sesuatu yang gagal dilakukan oleh pentadbiran Najib sebelum ini, atau menyiasat skandal 1MDB?” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas gesaan Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan supaya kerajaan berhenti mencari kesalahan dirinya dan pentadbiran terdahulu, sebaliknya memberi tumpuan untuk menyelamatkan ekonomi negara.
Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Parlimen semalam, berkata tindakan sewajarnya akan diambil terhadap Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah jika mereka didapati terlibat dalam kes pembunuhan model warga Mongolia itu.
Terdahulu, Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh bertanya sama ada Najib dan Rosmah akan disoal siasat berhubung kes pembunuhan Altantuya susulan pendedahan ahli perniagaan Deepak Jaikishan mengenai penglibatan pasangan itu.
Menurut Kit Siang, kes Altantuya akan terus menghantui Najib dan Malaysia sehingga motif sebenar pembunuhan tersebut dapat dirungkai dan pihak yang bertanggungjawab dihadapkan ke muka pengadilan. – Roketkini.com