UMNO DAN PAS MAKIN MELALUT DENGAN TUJUAN BERHIMPUN 8 DISEMBER INI
Kira-kira seminggu sebelum berlangsungnya Himpunan Bantah ICERD pada 8 Disember yang pada asasnya sudah tidak relevan lagi untuk diteruskan, UMNO dan Pas kelihatan semakin keliru dan melalut dengan tujuan mereka berhimpun itu.
Sebaik kabinet membuat keputusan tidak akan meratifikasikan ICERD pada 23 November lalu, ikut hukum akal yang waras, himpunan itu tidak sepatutnya lagi diteruskan.
Bagaimanapun UMNO berkeras untuk meneruskannya dengan alasan ia sebagai tanda terima kasih kepada kerajaan kerana tidak meratifikasikan ICERD akhirnya.
Senada dengan pendirian UMNO itu, Pas pula mengatakan mereka mahu terus berhimpun sebagai tanda kesyukuran lantaran kerajaan kesudahannya membuat keputusan membatalkan pengesahan terhadap ICERD.
Lagi pun, kata Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man, sukar untuk mereka membatalkan begitu saja daripada berhimpun kerana baju-T, bas, bilik hotel dan lain-lain persiapan sudah pun ditempah.
Kemudian selepas itu, Hadi Awang pula berhujah bahawa Pas mengambil keputusan meneruskan penyertaan dalam perhimpunan membantah ICERD kerana ingin mengajar sesetengah menteri yang didapati masih mengeluarkan kenyataan membayangkan seolah-olah konvensyen PBB itu akan diratifikasi juga pada suatu hari nanti.
Kata Hadi, menteri perlu menghormati Perdana Menteri yang sudah pun mengeluarkan kenyataan tidak akan menandatangani ICERD itu.
Sementara itu, UMNO pula menerusi Ketua Pemudanya, Asyraf Wajdi Dusuki berkata, himpunan 8 Disember nanti bukan saja untuk membantah ICERD, tetapi juga bertujuan menuntut janji daripada Pakatan Harapan.
Tegasnya, ini berikutan masih banyak janji Pakatan Harapan kepada rakyat masih belum ditunaikan sehingga kini.
Apa yang nyata di sebalik semua ini ialah UMNO dan Pas jelas tidak konsisten berhubung sebab dan tujuan mereka berhimpun pada 8 Disember nanti, walaupun setelah kerajaan memutuskan tidak akan meratifikasikan ICERD.
Daripada untuk berterima kasih dan bersyukur, ia kemudian berubah kepada alasan kononnya disebabkan baju T, bas dan hotel sudah ditempah dan kemudian bertukar pula untuk tujuan mengajar sesetengah menteri serta menuntut janji-janji ditunaikan.
Kenapa berubah-ubah dan kian melalut?
Menjelang hari-hari terakhir atau sehari dua sebelum 8 Disember ini, tidak mustahil UMNO dan Pas akan memberi sebab dan tujuan lain pula mengapa mereka meneruskan juga perhimpunan itu.
Sebabnya tidak lain ialah UMNO dan Pas mengadakan himpunan 8 Disember ini semata-mata kerana tujuan politik semata-mata. Mereka sentiasa mengubah tujuannya untuk mewajarkan perhimpunan itu sambil mengabuinya daripada penyokong masing-masing.
ICERD hanyalah 'kambing hitam' untuk menghalalkan matlamat politik kedua-dua parti itu untuk menekan, menghasut, menimbulkan huru-hara dan jika boleh, akhirnya menjadikan kerajaan pimpinan Tun Mahathir terus tidak stabil dengan sentimen kaum dan agama yang akan terus dibakar dan diapi-apikan.
Itu saja tujuannya. Titik. (ShahbudinHusin 02/12/2018).