Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor, Mohd Hairi Md Shah membidas kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang semenjak mentadbir negara tetapi tidak ada hala tuju dan perancangan yang nyata selain hanya memperlihatkan kepada rakyat pentadbiran yang kucar-kacir.
Katanya, sepanjang lebih sembilan bulan mengambil alih kerajaan, reputasi PH sebenarnya tiada apa-apa nak dibanggakan selain hanya tahu memusnahkan negeri-negeri yang telah dibangunkan oleh Barisan Nasional (BN) selama memerintah lebih 60 tahun.
“Bukan negara sahaja, bahkan lihatlah bagaimana PH ‘merosakkan’ negeri-negeri yang mereka tadbir tanpa ada apa-apa perkara, dasar atau hala tuju baharu yang digariskan?
“Tiada hala tuju konkrit dapat dilihat untuk membawa Malaysia ke arah lebih baik, masih lagi sibuk dengan alasan hutang bertimbun… sedangkan apa yang mereka lakukan hanya mengundang kerosakan… dulu kata beri masa tapi sampai sekarang pun masih macam-macam lagi alasan,” katanya ketika dihubungi UMNO Online hari ini.
Tegasnya, Kerajaan PH sebenarnya tiada perancangan untuk membawa Malaysia ke sebuah negara yang dikagumi dan disegani, selain hanya memberikan alasan demi alasan yang tidak munasabah kepada setiap persoalan rakyat.
“Banyak janji-janji yang di taburkan kerajaan PH khusus kepada golongan muda seperti pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), satu juta peluang pekerjaan, perumahan golongan muda dan pengurangan kos sara hidup tapi gagal ditunaikan sehingga kini.
“Itu memang ‘perangai’ mereka sejak sebelum jadi kerajaan, memperbodohkan rakyat dan tangkis semua seakan-akan mereka tidak membuat salah dan suci dari segala kesilapan”.
Sehubungan itu, beliau yakin bahawa rakyat telah muak dengan apa yang dilakukan oleh PH selama ini.
“Ramai dah sedar bahawa PH hanya menipu dan memperbodohkan rakyat dari manifesto pilihan raya sehingga kini dah ada kuasa pun masih dengan macam-macam alasan lagi,” tegasnya.
Terbaru, Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad semalam dilapor mengingatkan rakyat bahawa mereka akan tetap membayar kos pemansuhan tol walaupun ia dibayar oleh kerajaan kerana kerajaan persekutuan setakat ini belum mampu mengambil alih konsesi tol di negara ini.