'Lamaran' Ikatan pada Bersatu tak diterima
Selepas kelihatan terabai dalam Gagasan Sejahtera, Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) didakwa cuba membawa diri dengan menyertai Bersatu.
Namun usaha berkenaan dilaporkan menemui jalan buntu apabila 'pinangan' daripada parti kecil tersebut tidak mendapat sambutan seperti diharapkan daripada pucuk pimpinan Bersatu.
Sumber memberitahu Malaysiakini, usaha membawa Ikatan menyertai Bersatu digerakkan sendiri oleh presiden parti terbabit, Abdul Kadir Sheikh Fadzir.
"Tiga kali pertemuan berlangsung (dengan Bersatu), namun kesemuanya menemui jalan buntu.
"Pertemuan itu membabitkan pemimpin utama Ikatan dengan pemimpin tertinggi Bersatu, termasuk Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin dan Marzuki Yahya.
"Agak sukar untuk Bersatu menerima hasrat Ikatan," katanya.
Untuk rekod Ikatan pernah membentuk kerjasama dengan PAS dan Berjasa menjelang PRU ke-14 lalu lalu bagi membentuk kumpulan digelar sebagai blok ketiga.
Tetap konsisten dengan gagasan
Gagasan Sejahtera itu juga mempromosi kempen mereka dengan slogan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS).
Bagaimanapun kesan kerjasama itu tidak menyerlah, malah cadangan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, untuk memberikan laluan kepada Ikatan mencabar Dr Mahathir di kerusi parlimen Langkawi menyaksikan tokoh di peringkat kawasan saja diturunkan sebagai calon Gagasan Sejahtera.
Selepas PRU berakhir, PAS lebih aktif bekerjasama dengan Umno dan BN berbanding rakan mereka dalam gagasan tersebut.
Malaysiakini.