Mat Sabu gesa tindakan tegas ke atas penyebar berita palsu
Parti Amanah Negara (Amanah) menggesa tindakan tegas diambil terhadap pihak yang menggunakan sentimen kaum dan agama untuk menghancurkan kehormonian masyarakat negara ini, kata presidennya Mohamad Sabu.
Mohamad merujuk berita palsu di media sosial yang mengatakan Peguam Negara Tommy Thomas sebagai anti-Islam dan tidak mahu bertindak tegas terhadap pihak yang menghina kesucian agama itu.
"Amanah memandang serius tindakan sesetengah pihak yang menggunakan sentimen perkauman dan agama untuk menghancurkan keharmonian masyarakat Malaysia yang telah terbina sejak sekian lama.
"Ini kerana keamanan dan keharmonian negara yang mempunyai pelbagai kaum dan agama menjadi tunggak kepada kesejahteraan Malaysia," katanya yang juga menteri pertahanan dalam satu kenyataan.
Terdahulu Thomas hari ini membuat laporan polis selepas pelbagai tuduhan mengaitkannya dengan sikap anti-Islam beredar di media sosial.
Difahamkan seorang pegawai Jabatan Peguam Negara tiba di balai polis di Putrajaya untuk membuat aduan berkenaan bagi pihak Thomas kira-kira jam 3.15 petang tadi.
Dihubungi kemudian, Thomas menafikan beliau bersikap anti-Islam dan membuat laporan polis itu agar pihak berkuasa menyiasat pihak yang menyebarkan berita palsu berkenaan.
Menurut Mohamad, laporan polis yang dibuat Thomas membuka peluang kepada kerajaan untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat.
"Laporan polis ini memberi peluang kepada kerajaan untuk mengambil tindakan tegas kepada pihak-pihak yang menyebarkan berita palsu dengan tujuan membangkitkan kebencian kaum dan agama demi mempertahankan keharmonian Malaysia," katanya.
Malaysiakini.
Polis siasat Nazri di bawah Akta Hasutan - IGP
Polis sedang menyiasat Setiausaha Agung BN Mohamed Nazri Abdul Aziz d bawah Akta Hasutan 1948 susulan ucapannya ketika berkempen dalam pilihan raya kecil Semenyih.
Ketua Polis Negara Mohamed Fuzi Harun mengesahkan hal ini.
"Saya dah cakap tadi kita akan siasat bawah Akta Hasutan dan kita perlu lengkapkan (siasatan) secepat mungkin.
"Jadi lengkap nanti kita akan hantar ke DPP (Timbalan Pendakwaraya di Pejabat AG) untuk tindakan lanjut ataupun arahan selanjutnya," katanya.
Malaysiakini.