Dr M: Najib popular sebab banyak cerita
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Najib Razak sepatutnya melaksanakan setiap kritikannya terhadap pentadbiran Pakatan Harapan (PH), ketika masih berkuasa.
"Kenapa ketika berkuasa dia tak buat semua perkara yang dia minta kita buat?" soalnya ketika sidang media di Putrajaya, hari ini.
"Jika dia buat semua benda itu, dia pastinya masih menjadi perdana menteri," kata Mahathir.
Ketika kemuncak siasatan skandal 1MDB selepas PRU ke-14, Najib dilihat mengelak daripada bersemuka dengan media.
Beberapa bulan kemudian Najib hadir dengan imej baru, antaranya mengkritik kerajaan dengan nada humor dan sindiran sehingga menggelar dirinya sebagai "Raja Troll".
Selain itu beliau yang dianggap daripada keluarga bangsawan juga kini menggunakan imej santai dengan jenama "malu apa bossku".
Ketika ditanya tentang perkara itu, Mahathir mengakui Najib kini meraih pengikut terutama di media sosial.
"Nampaknya dia meraih populariti di media sosial kerana dia beri banyak cerita," katanya serta menyangkal tanggapan bahawa Najib memainkan peranan dalam kemenangan BN di PRK Cameron Highlands.
Mahathir sekali lagi mengulang dakwaannya bahawa Najib merupakan "diktator kleptokrat" ketika mentadbir negara, yang akan menahan pengkritik dan seteru politiknya.
"Tetapi (di sebalik dakwaan di mahkamah) kita benarkannya membuat ucapan, bayar bil dan sebagainya. Ini menunjukkan kita adalah kerajaan yang saksama," katanya lagi.
Malaysiakini.