Update 1.6 JUTA BENIH IKAN AIR TAWAR DILEPASKAN DI SUNGAI PAHANG >> Berita Malay 18


1.6 Juta Benih Ikan Air Tawar Dilepaskan Di Sungai Pahang


Jabatan Perikanan Pahang dengan kerjasama masyarakat setempat, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan telah melepaskan lebih 1.6 juta benih pelbagai spesis ikan air tawar di sungai, empangan dan tasik di negeri ini sejak tahun lalu.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Tuan Haji Azahari Othman berkata benih-benih ikan ini diperoleh daripada Pusat Pengembangan Akuakultur Perlok, Jerantut dan Pusat Pengembangan Akuakultur Bukit Tinggi, Bentong milik Jabatan Perikanan selain daripada beberapa pusat pembenihan swasta.

Beliau turut berkata, aktiviti pelepasan benih spesis ikan seperti kelah, lampam sungai, temoleh, patin, kerai, talipia dan sebarau telah dilakukan secara berperingkat.



“Dalam tempoh tiga bulan tahun ini jabatan melepaskan sebanyak 225,000 benih pelbagai spesies ikan ke perairan umum di beberapa daerah atas permintaan masyarakat setempat dan nelayan darat.

“Sungai Pahang yang merentasi beberapa daerah di negeri ini antara perairan umum yang menjadi lokasi utama aktiviti pelepasan pelbagai spesies utama ikan air tawar,” katanya pada Program Pelepasan Benih Ikan Di Sungai Teris, Kuala Gandah, hari ini.

Azahari turut menjelaskan kali pertama program pelepasan benih ikan di Sungai Teris telah dilakukan empat tahun lalu, aktiviti tersebut akan diteruskan dari masa ke masa dengan mendapat sokongan daripada pusat konservasi terbabit yang terkenal sebagai produk pelancongan utama di Pahang ini.

“Kita berharap ikan lampam sungai dan kelah yang terdapat di Sungai Teris dapat menjadi produk pelancongan terbaharu apabila pelancong dapat melihat sambil memberi ikan makan di kawasan jeti,” katanya.

Pada program dengan kerjasama Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah itu, sebanyak 15,000 benih ikan lampam sungai dan kelah dilepaskan di dua lokasi berasingan Sungai Teris yang terletak dalam kawasan pusat konservesi itu.

Sementara itu, Ketua Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, En. Mohamad Khairul Adha Mat Amin, berkata program pelepasan benih ikan penting untuk komuniti setempat terutama masyarakat Orang Asli.

“Kita juga berharap masyarakat setempat dapat bekerjasama menjaga hidupan marin di Sungai Teris untuk menjadikannya sebagai produk eko pelancongan terbaharu selain sumber makanan,” katanya.


Subscribe to receive free email updates: