Update KPM tiada hasrat wajibkan suntikan vaksin sebagai syarat untuk bersekolah - Maszlee >> Berita Malay 18

SERDANG: Kementerian Pendidikan tidak berhasrat mewajibkan suntikan vaksin sebagai syarat kepada murid untuk bersekolah.
Menterinya, Dr Maszlee Malik, berkata ini sejajar dasar kementerian yang mahu memastikan semua kanak-kanak mendapat akses pendidikan.

Katanya, setiap kanak-kanak berhak mendapatkan pendidikan berkualiti dan kementerian akan memastikan tiada lagi generasi itu yang tercicir seperti sebelum ini.

“Kerajaan mengutamakan pendidikan kepada semua kanak-kanak dan tidak akan menutup pintu kepada sesiapa untuk mendapatkan akses pendidikan (formal).

“Kita tidak boleh menutup pintu kita terhadap orang yang ingin belajar kerana itu bercanggah hak asasi manusia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Putra Future Classroom (PFC) Universiti Putra Malaysia(UPM) di Fakulti Pengajian Pendidikan UPM di sini, hari ini.

Baru-baru ini, seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun disahkan meninggal dunia disyaki akibat jangkitan difteria di Johor Bahru, Johor, dengan Kementerian Kesihatan memaklumkan kanak-kanak itu tidak pernah menerima sebarang imunisasi difteria sejak dilahirkan.

Jumaat lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dilaporkan berkata, kerajaan sedang mengkaji kemungkinan mewajibkan hanya kanak-kanak yang sudah menerima suntikan vaksin imunisasi dibenar memasuki sesi persekolahan.

Katanya, cadangan itu akan dikaji secara terperinci.
Dalam pada itu, Maszlee berkata kementerian sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang menyediakan aplikasi pendidikan percuma untuk meningkatkan penguasaan dalam subjek Matematik, Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.

“Ramai pelajar lemah dalam subjek Matematik serta Bahasa Inggeris dan jika ada akses teknologi percuma yang disediakan mana-mana pihak untuk membantu meningkatkan penguasaan pelajar, kita mengalu-alukannya,” katanya.

Mengenai PFC, Maszlee berkata, program itu dapat memantapkan lagi ekosistem pengajaran dan pembelajaran supaya lebih menyeronokkan untuk pelajar sekolah dan universiti.

“PFC menjadi pusat latihan, inkubator, penghasilan bahan pembelajaran online dan menjadi pencetus inovasi integrasi teknologi dalam pembelajaran dan pemudahcaraan,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Subscribe to receive free email updates: