Update Maszlee lantik tujuh Panel Pakar Majlis Penarafan & Kualiti Bahasa Inggeris >> Berita Malay 18

TUJUH PANEL PAKAR MAJLIS PENARAFAN STANDARD DAN KUALITI BAHASA INGGERIS TERIMA WATIKAH

YB Dr. Maszlee Malik, Menteri Pendidikan Malaysia petang tadi menyempurnakan majlis penyampaian watikah pelantikan kepada tujuh orang Panel Pakar Majlis Penarafan Standard dan Kualiti Bahasa Inggeris (MPSKBI) bagi sesi 2018-2020.
Mereka terdiri daripada Profesor Adjung Dr. Zuraidah Mohd Don, Profesor Dr. Hazita Azman, Profesor Dr. Anna Christina Abdullah, Datin Dr. Mardziah Hayati Abdullah, Profesor Madya Dr. Ramesh Nair S. Raman Nair, Puan Jaya Pushani T. Ponnudurai dan Profesor Madya Dr. Ranjit Singh Gill.
Pelantikan mereka dibuat oleh YB Dr Maszlee.

Majlis penyampaian watikah berlangsung di Kompleks E, Putrajaya.

Selaras Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, penubuhan MPSKBI bertujuan bagi mengawal standard dan kualiti pendidikan bahasa Inggeris di Malaysia supaya dapat mencapai piawaian antarabangsa.

Bagi merealisasikan aspirasi PPPM, MPSKBI turut dipertanggungjawab dalam penghasilan Roadmap Bahasa Inggeris 2015-2025.
Dalam ucapannya, YB Dr Maszlee berkata, beliau amat yakin, dengan pelantikan Panel Pakar MPSKBI bagi sesi 2018-2020, matlamat untuk mereformasi sistem pendidikan bahasa Inggeris negara akan tercapai.

“Di sini, saya ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada ketujuh-tujuh orang ahli Panel Pakar Bahasa Inggeris MPSKBI sesi 2018-2020 yang telah dilantik secara rasminya.

“Terima kasih atas dedikasi dan komitmen yang ditunjukkan dan pihak KPM sangat bertuah mendapat khidmat kepakaran daripada anda semua. Usaha murni Panel Pakar MPSKBI dalam menggerakkan dan memacu sistem pendidikan bahasa Inggeris kita ke tahap yang lebih tinggi amat dihargai,” kata beliau.

Turut hadir YBhg Dato' Dr Mohd Gazali Abas, Ketua Setiausaha KPM dan YBrs Farah Mardhy Aman, Pengarah Pusat Pengajaran Bahasa Inggeris (ELTC) merangkap Setiausaha MPSKBI.

Sumber: FB KPM

Subscribe to receive free email updates: