Update Murid teras ketiga pencapaian KPM di bawah kerajaan PH - Maszlee >> Berita Malay 18

Teras ketiga pencapaian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di bawah kerajaan baharu ialah menjadikan murid sebagai tonggak utama dalam sistem pendidikan negara. Di bawah teras ini terdapat enam perkara yang menjadi tumpuan.
Perkara pertama ialah pemansuhan Peperiksaan Tahap 1.

Mulai tahun 2019, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memansuhkan amalan Peperiksaan Pertengahan dan Akhir Tahun Murid Tahap I di Sekolah Rendah termasuk Murid Berkeperluan Khas (MBK) di Sekolah Pendidikan Khas (SPK), Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan Program Pendidikan Inklusif (PPI) di KPM.

Pemansuhan ini melibatkan lebih 450,000 murid. Laporan penilaian pertengahan tahun dijadual akan dikeluarkan Jun 2019.

Pemansuhan ini dilaksanakan selaras dengan usaha reformasi pendidikan dan konsep pembelajaran yang berorientasikan perkembangan murid.

Pentaksiran terhadap Murid Tahap I juga akan dilaksanakan secara lebih objektif melalui suasana pengajaran dan pembelajaran yang menyeronokkan berpaksikan kepada usaha pembangunan karakter dan potensi murid secara berterusan.

Melalui usaha ini, kita mampu menghasilkan murid yang memiliki keupayaan dan pemikiran holistik di samping membina jati diri dan nilai-nilai positif sejak dari awal lagi.

Ibu bapa juga mampu melihat perkembangan anak-anak secara lebih menyeluruh dan tidak tertumpu kepada soal akademik semata-mata.

Guru-guru juga mendapat peluang yang baik untuk mengenali diri murid dengan lebih dekat melalui penerapan nilai-nilai murni yang dipentingkan dalam pentaksiran baharu ini. Ia juga memberikan lebih ruang buat guru untuk menyemai nilai-nilai berkenaan dalam diri murid.

Secara umumnya pemansuhan ini amat bertepatan dengan budaya pendidikan berteraskan kasih sayang, kegembiraan dan hormat-menghormati yang sedang ditampilkan oleh KPM.

Ia membolehkan kita meletakkan nilai sebagai punca kepada pengetahuan dan memastikan anak-anak kita terdidik sebagai generasi yang berbudi dan berilmu tinggi.
Perkara kedua ialah hak pendidikan untuk anak-anak tanpa dokumen.

Mulai 2019, KPM memutuskan untuk memberikan peluang untuk kanak-kanak tanpa dokumen untuk ke sekolah. Ini merupakan anjakan penting dalam reformasi pendidikan negara.

Sehingga kini, 2,635 kanak-kanak tidak berdokumen ini telah mendaftarkan diri untuk mengikuti sesi persekolahan dan KPM amat gembira melihat jumlah ini semakin bertambah.

Mendekatkan mereka dengan persekolahan dan pendidikan adalah satu usaha untuk membantu mereka membina kembali masa depan agar mampu mengubah nasib diri dan keluarga.

Dasar ini dilaksanakan dengan teliti dan mengambil kira pelbagai faktor termasuk perundangan dan peraturan-peraturan yang berkaitan.

Perkara ketiga ialah peruntukan yang signifikan untuk tujuan naik taraf dan penyelenggaraan sekolah di bawah Belanjawan 2019. Peruntukan keseluruhan sebanyak RM615 juta disediakan dan memberi manfaat kepada semua jenis sekolah di negara ini.

Di bawah perkara keempat, KPM telah melaksanakan semakan semula Akta Pendidikan 1996 bagi mewujudkan peruntukan pendidikan wajib selama 11 tahun.

Ini merupakan satu hasrat penting untuk mengurangkan kadar keciciran anak-anak dalam sistem persekolahan dan memastikan kita memiliki generasi berilmu pada masa akan datang.

Perkara kelima pula merupakan program khusus untuk mengurangkan kadar keciciran murid bagi mengikuti pendidikan asas.

Program perintis Sifar Murid Cicir (PSMC) telah dilaksanakan di negeri Perlis, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Langat dan PPD Langkawi sebelum diperluaskan ke PPD Pasir Mas, PPD Kluang dan PPD Kulai.

Dapatan menunjukkan 26.1 peratus (262 orang) murid di sekolah menengah telah kembali ke sekolah melalui program ini. Sehubungan itu, KPM berhasrat untuk meluaskan lagi pelaksanaannya bagi memastikan manfaat menyeluruh bakal dirasai masyarakat di setiap peringkat.
Perkara terakhir di bawah teras ketiga ini ialah penggubalan Prosedur Operasi Standard (SOP) Keselamatan melibatkan murid dalam menghadapi bencana khusus termasuk pencemaran seperti bahan kimia.

Menjadikan murid sebagai tonggak utama sistem pendidikan negara melihatkan bagaimana kerajaan begitu serius memastikan mereka merasai perubahan-perubahan besar ini. Segala yang dirancang sudah tentu untuk manfaat murid.

KPM berhasrat mahu melihat generasi akan datang untuk Malaysia ialah generasi yang bukan sahaja memiliki kepandaian dari sudut akademik, namun dilengkapi dengan nilai-nilai murni dan pekerti yang tinggi untuk menjadi insan yang dihormati serta sentiasa disegani.

Subscribe to receive free email updates: