Imej via Bernama |
Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Datuk Seri Michael Manyin berkata, buat permulaan, pelaksanaannya adalah bagi pelajar tahun satu, menjadikan Sarawak negeri pertama di Malaysia melaksanakannya.
“Sejumlah 1,265 buah sekolah di seluruh negeri akan mula menggunakan Bahasa Inggeris untuk Matematik dan sejumlah 2,657 guru perlu dilatih sebelum tahun hadapan.
“Program ini yang hampir serupa dengan program Program Dwi-Bahasa (DLP) yang pernah dilakukan sebelum ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Manyin berkata, idea memperkenalkan program ini dibuat, bagi membolehkan kanak-kanak akan dapat bersaing di seluruh dunia.
“Saya percaya, kebanyakan ibu bapa akan menyokong program ini, bagi menjadikan anak-anak mereka lebih kompetitif.
“Bila kita gunakan Bahasa Inggeris untuk mengajar Matematik dan Sains, jumlah kelas dalam jadual akan bertambah kepada 16 seminggu. Di sekolah rendah, saya rasa ramai pelajar akan lebih yakin untuk bercakap dan menyuarakan pandangan dalam bahasa Inggeris,” katanya lagi.
Selepas hari raya Manyin berkata, kementeriannya akan mengadakan dialog bersama ibu bapa yang masih ragu-ragu dengan pelaksanaan program ini.
“Ini akan menjelaskan tujuan dan objektif program ini secara terperinci, supaya ibu bapa akan memahaminya,” katanya.
Sehingga kini katanya, hanya sekolah Cina yang tidak akan menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran dua mata pelajaran tersebut dan akan mengekalkan penggunaan bahasa Mandarin sebagai bahasa penghantar. Kementerian ini menghormati keputusan dan mereka mempunyai hak untuk memilih.- BERNAMA