Seramai 320 guru agama menerima sumbangan daripada kerajaan negeri pada Majlis Kesyukuran, Doa Selamat dan Solat Hajat sempena Hari Kemerdekaan Ke-62.
Majlis itu yang berlangsung di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Sungai Isap di sini dihadiri lebih 2,000 orang.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan negeri, Dato' Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, sumbangan sebanyak RM500 tersebut melalui Menteri Besar, Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail.
Kata beliau, guru-guru agama berkenaan merupakan kelolaan kerajaan negeri sepenuhnya di asrama sekolah- sekolah negeri.
"Sumbangan ini bertujuan menghargai usaha mereka memperkasa penguasa bacaan al-Quran bertajwid dan fasahah.
" Kewujudan mereka ini sebenarnya sudah lama dan ada yang telah berkhidmat sejak 1970-an," katanya di sini.
Beliau berkata, walaupun guru-guru agama berkenaan sudah disediakan elaun bulanan tetapi sempena majlis berkenaan mereka diraikan sebagai pengiktirafan terhadap usaha murni mereka mengajar agama dan al-Quran.