Update PAHANG BUKA TAMAN PERINDUSTRIAN ANTARABANGSA KUANTAN >> Berita Malay 18







Menteri Besar Datuk Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Negeri telah meluluskan pembukaan tamah perindustrian baharu seluas 1,214.06 hektar dekat Pelabuhan Kuantan, sebagai Taman Perindustrian Antarabangsa Kuantan (KIIP).

Kerajaan Negeri juga katanya, ada cadangan untuk mewujudkan secara eksklusif, Taman Perindustrian Pahang-Singapura seluas 485.62 hektar yang terletak di sebuah kawasan strategik bersebelahan Jalan Kuantan-Pekan.

Selain itu ialah cadangan membangunkan Taman Aeroangkasa Pahang di sebuah kawasan yang sedang dikenalpasti, yang fungsinya ialah seakan-akan Taman Automatif Pekan (PAP; Pekan Automotive Park) sedia ada.

Wan Rosdy berkata demikian ketika menyampaikan Ucaptama pada Forum Pelaburan Pahang 2019 (PIF 2019; Pahang Investment Forum 2019) anjuran Kerajaan Pahang dengan kerjasama Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura dan Persekutuan Pengilang-pengilang Singapura (SMF; Singapore Manufacturing Federation) pagi Khamis, 1 Ogos.

PIF 2019 ini berlangsung dua (2) hari – pada hari ini, Khamis, dan Jumaat, 2 Ogos di sebuah hotel terkemuka di sini; disertai oleh lebih 130 peserta termasuk 83 syarikat dari Singapura dan 23 syarikat multinasional.

“Taman perindustrian seperti Kawasan Perindustrian Gebeng yang dibawah seliaan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) telahpun lama wujud dan bersedia menerima pelaburan pada bila-bila masa.

“Kerajaan Negeri juga sedang rancak menerima kemasukan pelabur-pelabur ke Taman Maritim Tanjung Agas di Pekan – sebuah kawasan meliputi 1,710.06 hektar (4,225.66 acres); juga bersedia menerima kemasukan pelaburan ke sana,” katanya.

Di bawah Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) pula katanya, sudah tersedia beberapa lagi taman perindustrian yang boleh turut menerima pelaburan daripada Singapura.

Antara taman perindustrian-taman perindustrian itu ialah PAP – taman perindustrian mengeluarkan produk berasaskan automotif; Taman Halal Gambang – yang berfokuskan kepada pengeluaran produk-produk halal sama ada yang berasaskan makanan atau bukan makanan; dan, Taman Teknologi Pahang (PTP; Pahang Technology Park) – taman yang memberi tumpuan kepada usaha mempromosikan kegiatan berasaskan sains dan teknologi.

“Kerajaan Negeri amat komited untuk bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan apa juga pelaburan yang dibuat (di negeri Pahang) akan berjaya, dan terus meningkatkan lagi kejayaannya,” kata Wan Rosdy lagi.

Sehubungan itu, beliau menyatakan betapa Kerajaan Negeri amat serius dalam usaha untuk turut menyediakan segala prasarana industri yang terbaik bagi memenuhi keperluan-keperluan termasuk utiliti oleh pihak pelabur.

Berkaitan pembekalan air misalnya, kata Menteri Besar itu, Kerajaan Negeri sedang bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan untuk menangani isu-isu yang timbul terutamanya di kawasan-kawasan yang berlaku peningkatan besar kepada permintaan bekalan air.

“Kerajaan Negeri sedang menimbang beberapa pilihan demi memastikan pembekalan air yang terjamin dan antaranya ialah usaha menambah-baik Logi Rawatan Air Semambu yang mana, peruntukan RM 446 juta telahpun diluluskan sepertimana diumumkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, baru-baru ini,” katanya.

Wan Rosdy turut menyentuh soal kesaling-hubungan (connectivity) di negeri itu yang menurutnya, perjalanan dan pengangkutan barangan antara bandar-bandar utama dan pekan kecil di Pahang adalah lebih selesa dan berkesan dengan wujudnya Lebuhraya Pantai Timur (LPT), yang bakal diperhebatkan lagi dengan adanya projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kelak.

Dengan Pelabuhan Kuantan pula yang sedang dinaikkan tarafnya untuk menjadi pelabuhan bertaraf dunia yang dilengkapi dengan terminal kargo cecair yang modern katanya, Pahang akan menjadi lokasi yang ‘ideal’ sebagai pintu masuk pasaran yang luas dari negara-negara China, Jepun dan Korea Selatan di utara, serta, Singapura dan Australia di sebelah selatan.

Apatah pula Pelabuhan Kuantan katanya lagi, telahpun diwartakan sebagai Zon Pelabuhan Bebas Kuantan (KFPZ; Kuantan Free Port Zone) berkuatkuasa 1 April lepas (2019).

Lembaga Pelabuhan Kuantan (LPKtn) pula katanya, telah dilantik sebagai Pihak Berkuasa Zon Bebas (FZA; Free Zone Authority) yang bertanggungjawab dalam urusan-urusan pentadbiran dan operasi, serta penguatkuasaan undang-undang dan peraturan ke atas KFPZ ini.

Daripada segi komunikasi dan capaian internet pula Wan Rosdy menambah kata, kedua-dua syarikat penyedia kemudahan itu iaitu Unify and Maxis, sedang bekerja keras bagi memastikan kapasiti perkhidmatan adalah selaras dengan permintaan, dan sehingga tahun lepas, kadar capaiannya ialah kira-kira 97 peratus.

“Akhirnya, adalah menjadi harapan besar saya bahawa forum dua hari ini akan dapat memberi natijah yang baik maka meraih lebih banyak pelaburan serta perkongsian pengetahuan dan teknologi antara Pahang dan Singapura,” katanya lagi.

Selain delegasi 51-orang Pahang yang termasuklah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Salehuddin Ishak dan Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri – Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin dan Dato’ Sri Ir Mohd Soffi Abdul Razak;

Antara yang turut hadir pada majlis pagi Khamis ini ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Zainol Rahim Zainuddin; serta, Presiden SMF, Datuk Seri Douglas Foo.


Subscribe to receive free email updates: