Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata bersamalah kita mengeratkan perpaduan dan elakkan perpecahan kerana itulah kunci utama untuk menentukan masa depan negara yang bertuah dan berdaulat ini.
Ujar beliau, kemerdekaan menjadikan bangsa kita berdaulat dan bebas menyusun hala tuju kita sendiri, bebas mengamalkan agama, budaya, ekonomi, politik dan pelbagai lagi dengan mengikut lunas di dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Alhamdulillah… Syukur ke hadrat Allah SWT kerana kita semua dapat membina penghidupan yang baik dan terus diberikan kesempatan mengecapi nikmat di bumi Allah ini.
“Kita bebas untuk membentuk kekuatan negara bangsa yang berdaulat ini,” katanya dalam ucapan sempena Hari Kemerdekaan melalui Facebook beliau.
Katanya, pengorbanan pejuang-pejuang terdahulu yang bermatian bagi memerdekakan bumi bertuah Tanah Melayu ini haruslah dihargai dan di ingati.
“Semoga kita semua tidak lalai dan alpa dengan dendangan lagu dusta yang melenakan. Bersamalah kita mengeratkan perpaduan dan elakkan perpecahan , itulah kunci utama untuk menentukan masa depan negara yang bertuah dan berdaulat ini, Insya-Allah.
“Selamat menyambut Hari Kemerdekaan tanahair yang ke-62 kepada semua. Salam Kemerdekaan dari saya,” katanya lagi.