Update [TEMERLOH] CETEK PERLEMBAGAAN PUNCA PROTES TULISAN JAWI >> Berita Malay 18






Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Agama Malaysia Barat (KKGAMB) bersedia turun padang menyanggah tindakan pihak tertentu membantah pelaksanaan tulisan Jawi dan seni khat di sekolah sehingga ada yang mahu menyakinkan ibu bapa untuk berhenti menghantar anak-anak mereka ke sekolah sebagai tanda protes.

Presidennya, Muhd. Fadhli Jusoh berkata, campur tangan pihak luar yang memprotes tulisan Jawi dan seni khat menggambarkan kecetekan mereka tentang Perlembagaan Negara.

Katanya, demontrasi aman mempertahankan Kementerian Pendidikan akan diadakan di pekarangan Hotel Summit, Kuala Lumpur pada 5 Oktober sempena mesyuarat agung kesatuan itu.

"Tindakan mahu mempengaruhi ibu bapa dan pelajar supaya ponteng sekolah satu tindakan 'luar biasa' dan tidak terfikir oleh rakyat yang patriotik terhadap negara.

"KKGAMB yang mempunyai 35,000 ahli di seluruh negara menggesa kerajaan menolak tuntutan seperti itu dan organisasi yang senada dengannya kerana telah campur tangan melampau dalam sistem pendidikan negara," katanya di sini hari ini.

Muhd. Fadhli meminta rakyat usah mempedulikan pihak melampaui batas dan lupa daratan yang tidak mengkaji susur galur sejarah negara bahawa ketamadunan Melayu berasaskan tulisan Jawi.

Jika kerajaan sekarang terlalu berlembut tanpa merujuk teras Perlembagan Negara, tegasnya, akan membantutkan pendidikan anak bangsa dan semangat guru boleh merundum.

"Hak warisan seni pribumi negara perlu dipertahankan kerana ini selaras dengan kontrak sosial yang dipersetujui tiga kaum terbesar di negara ini sebelum merdeka,`` katanya.


Subscribe to receive free email updates: