Dalam mendepani kebanyakan isu-isu nasional yang timbul mutakhir ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kelihatan seperti bersendirian dalam menyuarakan pendapat tanpa sebarang sokongan dari kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) terutamanya isu terkini melibatkan isu penceramah bebas, Zakir Naik.
Ketua Pembangkang Selangor, YB Rizam Ismail berkata, setiap pemimpin tertinggi PH sudah mula mencari kekuatan ahli parti sendiri untuk mengukuhkan kedudukan diri sendiri demi kepentingan peribadi dan bukannya parti.
“Saya minta Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari supaya fokus kepada mempertahankan dan memperbaiki muafakat serta menyelesaikan konflik dalaman parti PKR yang saya lihat kini hanya retak menanti belah antara sesama mereka,” katanya melalui kenyataan media hari ini.
Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Selangor juga bersetuju dengan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa bahawa Dr Mahathir bersendirian menghadapi konflik dan krisis dalaman PH.
Katanya, ia adalah bertepatan dengan situasi politik terkini.
“Saya juga yakin dan percaya pihak pembangkang hari ini sebenarnya semakin kuat dan utuh, terutamanya dari sokongan komponen parti pembangkang dan momentum agenda penyatuan ummah yang dilihat semakin menarik perhatian dan membuka peluang kepada rakyat yang kini merasa sesal dengan prestasi dan pencapaian kerajaan yang dilihat lemah,” katanya lagi.