Kerajaan negeri sentiasa mengamalkan dasar 'pintu terbuka' termasuk dalam meraikan kedatangan dan kemasukan pelaburan.
Menteri Besar, Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keterbukaan kerajaan negeri itu adalah selagi pelaburan berkenaan memanfaatkan Pahang dan rakyatnya selain menguntungkan pelabur.
Sepertimana sedia maklum, katanya, beliau mengetuai misi perdagangan ke Singapura sempena Forum Pelaburan Pahang 2019 awal bulan lalu yang mana kerajaan negeri berjaya menarik pelaburan berjumlah RM1.134 bilion.
"Satu daripada pelaburan ini yang bernilai kira-kira RM100 juta adalah oleh IBN Corporation Private Limited yang bercadang terlibat dalam projek pembinaan kolam takungan dan pembekalan air terawat bagi memenuhi keperluan komersial serta perumahan di seluruh kawasan Genting Highlands.
"Projek yang dikendalikan oleh IBN ini adalah sebagai pelengkap, bukan pesaing kepada pembekal sedia ada memandangkan bekalan air terawat di sini tidak dapat menampung permintaan semasa kira-kira 28.2 juta liter sehari," katanya ketika berucap merasmikan Swiss-Garden Hotel & Residences Genting Highlands di Genting Highlands di sini semalam.
Hotel bertaraf lima bintang itu dibangunkan konglomerat terkemuka negara iaitu Kumpulan OSK.
Menurut Wan Rosdy, rancangan bagi mencukupkan keperluan air terawat di kawasan tanah tinggi berkenaan diharap dapat meleraikan keresahan dalam kalangan pelabur sepertimana Kumpulan OSK mengenai pembekalan air terawat yang lancar dan berkesan.