Kelemahan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) mengawal situasi negara dan rakyat menjadi faktor berlakunya gerakan dari sekumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang melancarkan kempen mengutamakan pembelian produk Islam.
Pengerusi Sekretariat NGO Pemuda UMNO, Muhammad Faiz Hashim berkata, tindakan itu berlaku dipercayai sebagai respon dan tindak balas kepada beberapa pemimpin bukan Islam yang menindas, mempersoal serta memijak kepala orang-orang Melayu dan umat Islam.
"Sekiranya keadaan ini berlarutan, ia tidak lagi mencerminkan lagi Malaysia sebagai sebuah negara yang harmoni dan masyarakat dunia tidak akan menghormati negara ini.
"Saya juga tidak faham dengan rakyat yang bukan beragama Islam yang bersikap berpura-pura dan banyak bermain wayang. Soal untuk mencari keuntungan berniaga sanggup tulis pada produk tulisan Jawi dan mengunakan simbol masjid dan sebagainya bagi mengaburi mata pembeli yang majoritinya Melayu serta Islam. Tetapi pada masa yang sama memboikot tulisan Jawi, sedangkan tulisan ini telah digunakan sebelum merdeka lagi," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan beberapa NGO baru-baru ini yang melancarkan kempen mengutamakan pembelian produk Islam yang tular dalam media sosial.
Muhammad Faiz berkata, negara sudah 62 tahun merdeka dan rakyat seharusnya lebih matang, tahu adab tatasusila, saling bertolak ansur serta hormat menghormati dan menjaga sensitiviti sesama kaum.
"Jelas, kepincangan yang berlaku dalam negara pada hari ini adalah kelemahan kerajaan PH yang gagal dalam mengawal situasi negara dan rakyat pada hari ini," ujarnya.