Update [LIPIS] PEMUDA KUDUNG GEMBIRA BERGELAR MAHASISWA UPM >> Berita Malay 18






Walaupun baru lima hari menjejakkan kaki di menara gading, Wan Ahmad Amirul Adha Wan Mahzir, 20, yang berstatus orang kurang upaya (OKU) mengakui cepat menyesuaikan diri bergelar mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM).

Pemuda dari Kampung Petola dekat sini itu yang kudung kaki kanan diberi sambutan 'meriah' pada hari pendaftarannya di universiti tersebut 1 September lalu berikutan kisah kesusahan kehidupan keluarganya disiarkan Utusan Online pada 28 Ogos lepas sehingga mendapat perhatian banyak pihak termasuk pentadbiran UPM.

Wan Ahmad Amirul Adha berkata, walaupun statusnya sebagai OKU dan bergerak menggunakan tongkat, dia cepat menyesuaikan diri dengan suasana kampus malah ramai rakan penuntut lain yang membantunya.

Katanya, program minggu suai kenal universiti berkenaan juga banyak memberikan pengetahuan kepadanya untuk menjalani kehidupan di kampus.

"Alhamdulillah, saya berterima kasih kepada pentadbir UPM kerana menempatkan saya di aras satu kolej yang memudahkan pergerakan ke dewan kuliah dan menjalani aktiviti kokurikulum. Mereka memberi keyakinan dan motivasi kepada saya untuk menjalani kehidupan serta pembelajaran di kampus ini.

"Saya juga berterima kasih kepada Utusan Online yang menyiarkan masalah kehidupan kami termasuk kekurangan kewangan membuat persiapan melanjutkan pengajian di universiti ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Dia kehilangan kaki kanannya setelah dilanggar sebuah lori ketika membonceng motosikal emak saudaranya ke Sekolah Kebangsaan Pagar Sasak ketika hari pertama mendaftar persekolahan tahun lima pada 2011.


Subscribe to receive free email updates: