Update Naikkan kadar pelepasan cukai pendapatan individu - CUEPACS >> Berita Malay 18

KOTA KINABALU: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap kerajaan dapat menaikkan kadar pelepasan cukai pendapatan individu daripada RM9,000 kepada RM18,000 berikutan keadaan ekonomi kini yang tidak menentu.
Presidennya Azih Muda berkata beliau berharap agar perkara ini dapat diberi perhatian dalam pembentangan Belanjawan 2020 bagi mengurangkan beban tanggungan dan kos sara hidup rakyat yang kini semakin meningkat.

“Disebabkan oleh kos sara hidup yang sangat tinggi, selain persekitaran ekonomi yang tidak menentu, kita berharap kadar pelepasan cukai individu itu dapat dinaikkan. Begitu juga dengan kadar pelepasan cukai bagi isteri yang tidak bekerja, perlu dinaikkan daripada RM2,000 kepada RM5,000.

“Kadar ini sudah terlalu lama dan kita melihat bahawa kadar pelepasan cukai ini tidak bersesuaian dengan keadaan ekonomi semasa negara.

“Saya yakin dengan peningkatan pelepasan cukai ini penjawat awam dapat menyusun semula perbelanjaan isi rumah dan ekonomi kita juga akan lebih makmur serta berdaya saing,” katanya selepas Persidangan Perwakilan Tritahunan Cuepacs Sabah, di sini hari ini.

Beliau juga berharap ada khabar gembira kepada penjawat awam dengan pengumuman bonus sekurang-kurangnya sebulan gaji, kepada kumpulan pekerja ini di seluruh negara dalam pembentangan Belanjawan 2020 itu.


Subscribe to receive free email updates: