Kerajaan Negeri hari ini melancarkan aplikasi PahangGo yang menjadi platfrom 'one stop centre' kepada semua servis yang digunakan oleh rakyat negeri ini termasuk pembayaran cukai, pembayaran bil, pembayaran parkir dan hebahan informasi terkini.
Pelancaran aplikasi berkenaan disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada Majlis Ramah Mesra YAB Menteri Besar Pahang Bersama-Sama Kakitangan Awam Daerah Bentong dan Pelancaran Aplikasi Mobile PahangGo di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.
YAB Menteri Besar Pahang berkata, aplikasi ini dibangunkan oleh Syarikat Milik Kerajaan Negeri khas untuk rakyat Pahang dan ia menawarkan pelbagai jenis perkhidmatan meliputi pihak kerajaan serta swasta.
"Menerusi kerjasama ini, maka tercipta sebuah aplikasi yang menggabungkan kesemua pihak berkuasa tempatan (PBT), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) di setiap daerah serta institusi pengajian tinggi (IPT) di Pahang.
"Ini menjadikan PahangGo aplikasi mobile pertama di Malaysia yang mempunyai fungsi berdasarkan gabungan berkenaan," katanya dalam sidang media selepas majlis perasmian berkenaan.
Turut hadir, Pengerusi PahangGo, YB. Dato' Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato' Sri Dr. Sallehuddin Ishak; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, YB. Dato' Sri DiRaja Haji Adnan Haji Yaakob; barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang dan pegawai kanan Kerajaan Negeri.
Dato' Sri Haji Wan Rosdy berkata, dalam tempoh tiga bulan selepas pelancaran iaitu fasa perintis, antara perkhidmatan yang tersedia adalah semak dan bayar untuk cukai taksiran, cukai tanah dan pembayaran kompaun, pembayaran bil utiliti dan telefon, pembelian tiket bas, pembayaran yuran pengajian dan pembaharuan cukai jalan serta insurans kenderaan.
"Di samping itu, fasa ini juga akan memperkenalkan sistem parkir digital di Cameron Highlands dan di dalam fasa seterusnya kemudahan ini akan diperluaskan ke kawasan serta daerah yang lain yang sebagai alternatif kepada penggunaan kupon," katanya.
Beliau yakin aplikasi ini akan mendapat tempat di hati rakyat Pahang kerana sehingga kini kira-kira 300 pengguna sudah memuat turun aplikasi ini di telefon pintar mereka.
"Aplikasi PahangGo adalah milik bersama rakyat dan kerajaan. Ianya dibangunkan oleh Syarikat Milik Kerajaan Negeri selaras dengan Revolusi Industri 4.0 yang mengetengahkan revolusi digital berlandaskan komunikasi antara teknologi digital dan manusia.
"Dengan kewujudan aplikasi PahangGo, maka terbuktilah bahawa negeri Pahang berada pada landasan yang tepat untuk menerajui Ekonomi Digital di Malaysia," katanya.