Bekas Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh merasa sedih dan terkilan dengan penyebaran komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ yang telah diedarkan di sekolah-sekolah baru-baru ini.
Jelas beliau, bahan bacaan tersebut amat berbahaya kerana dikatakan memutarbelitkan fakta sejarah dengan melabelkan komunis sebagai watak ‘hero’.
“Jika tidak dikekang lebih awal, sejarah negara akan terus diputarbelitkan oleh Dap dan seterusnya watak Komunis Bintang Tiga menjadi ‘hero’ dan berjasa pada rakyat.
“Walhal kumpulan tersebut adalah pengkhianat terbesar yang mencetuskan keadaan huru-hara dengan melakukan pelbagai malapetaka pada negara termasuk rusuhan, keganasan, pembunuhan kejam, pergaduhan kaum, rompakan bersenjata dan memusnahkan kehidupan banyak pihak dari segi emosi, ekonomi, agama dan sebagainya,” katanya kepada UMNO Online.
Idris yang juga Ahli Parlimen Besut berharap agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak bersekongkol dengan penyebaran komik.
Tambahnya lagi sewajarnya KPM bertegas mengenakan tindakan undang-undang terhadap pihak pembekal dan seterusnya merampas naskah komik daripada simpanan guru-guru dan murid serta membuat laporan polis.
“Saya juga menyeru agar Kementerian Dalam Negeri (KDN) segera membuat siasatan ke atas aktiviti penyebaran komik ini, seterusnya mengambil tindakan sewajarnya ke atas Muzium Kebudayaan Komik Asia tersebut kerana mengedarkan bahan cetakan yang tidak mendapat kelulusan KDN kepada institusi pendidikan negara,” tegasnya lagi.
Terdahulu, Najib dalam hantaran menerusi laman Facebooknya mempersoalkan edaran komik di sekolah-sekolah berbentuk propaganda mengagungkan Dap, komunis dan memburukkan Malaysia serta dirinya sekeluarga.
Komik berkenaan diterbitkan pada April 2019 dalam bahasa Melayu, Cina dan Inggeris atas kerjasama kolektif antara kurator Dr Hew Kuan Yau dan artis komik tempatan Ching Po Ling.