Update HARGAI JASA PEJUANG BERKORBAN DEMI NEGARA - DATO' SRI HAJI WAN ROSDY >> Berita Malay 18







Rakyat di negeri ini terutamanya golongan belia diajak mengenang jasa dan menghargai pengorbanan veteran tentera serta polis dalam menjaga kedaulatan, keselamatan dan keamanan negara.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Negeri amat menghargai pengorbanan pejuang-pejuang ini yang banyak berkorban terutamanya dalam mendapatkan Kemerdekaan untuk negara.

"Kita sebenarnya banyak terhutang budi dengan pejuang-pejuang ini. Keamanan yang kita kecapi sekarang ini juga adalah atas usaha dan pengorbanan mereka semua.

"Justeru, jangan sesekali melupakan jasa mereka yang berkorban kepada negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Jamuan Malam Sempena Hari Pahlawan Tahun 2019 Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas, Sistem Penyampaian Awam dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato' Sri Norolazali Sulaiman, YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato' Indera Haji Mohamad Roslan Harun, barisan EXCO Kerajaan Negeri dan pegawai kanan Kerajaan Negeri.

Pada program ini seramai 302 veteran tentera dan veteran polis diraikan dalam majlis berkenaan dan Dato' Sri Haji Wan Rosdy turut menyampaikan anugerah Tokoh Pahlawan kepada dua veteran yang terpilih.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri mengadakan majlis ini adalah untuk mengajak rakyat mengenang dan menghargai perjuangan serta pengorbanan veteran dalam menjaga kedaulatan, keselamatan dan keamanan negara.

"Saya juga ingin menyeru generasi muda diingatkan supaya tidak melupakan jasa dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh pejuang dan pemimpin terdahulu dalam usaha mencapai kemerdekaan negara.

"Ini bagi memastikan golongan itu menghargai kemakmuran negara dengan memahami, menghayati dan mendukung sejarah kemerdekaan," katanya.


Subscribe to receive free email updates: