Update KERAJAAN NEGERI BANTAH PENUTUPAN UNITEN KAMPUS MUADZAM SHAH >> Berita Malay 18






Kerajaan Negeri Pahang meminta pengurusan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) supaya menyemak kembali perancangan untuk menutup Kampus Sultan Haji Ahmad Shah di Muadzam Shah, Rompin dengan mengambil kira bantahan daripada pelbagai pihak.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Negeri membantah usaha untuk menutup kampus berkenaan yang begitu besar jasanya kepada rakyat di negeri ini.

"Kerajaan Negeri meminta pengurusan UNITEN serta pengurusan tertinggi Tenaga Nasional Bhd (TNB) sendiri supaya menyemak kembali perancangan itu dengan mengambil kira bantahan oleh Kerajaan Negeri dan pelbagai pihak lain,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Beliau berkata, ketika Kerajaan Negeri meluluskan tanah seluas kira-kira 68 hektar kepada UNITEN pada penghujung tahun 1990-an itu, ianya adalah untuk pembinaan segala jenis infrastruktur yang diperlukan bagi kewujudan sebuah kampus yang dapat menampung keperluan pendidikan serta penginapan pelajar.

"Sejak kemasukan 200 pelajar pertama pada tahun 2001 hingga kemuncaknya pada tahun 2015 dengan seramai 4,300 orang, kampus berkenaan turut menyumbang kepada peningkatan aktiviti sosio-ekonomi Bandar Muadzam Shah sendiri.

"Walaupun kini jumlah pelajarnya menurun kepada 1,300 orang tetapi ini sebenarnya adalah kesan daripada faktor ekonomi nasional dan dunia. Apabila keadaan ekonomi bertambah baik saya percaya, jumlah kemasukan pelajar akan kembali ramai.

“Oleh itu, adalah diharapkan lebih wajar berusaha untuk menyemarakkannya lagi dengan pengenalan lebih banyak kursus peringkat diploma, ijazah sarjana muda dan ijazah sarjananya dengan tidak terhad kepada adanya Kolej Pengurusan Perniagaan dan Perakaunan (COBA) sahaja.

"Apatah lagi dengan nilai sentimental pada namanya mengambil sempena nama Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah,” katanya lagi.


Subscribe to receive free email updates: