Update [KUANTAN] PERTAHAN INDUSTRI SAWIT NEGARA >> Berita Malay 18



WAN Rosdy Wan Ismail (dua dari kiri) menunjukkan produk daripada



Semua pihak perlu memainkan peranan bersama bagi mempertahankan industri sawit yang ketika ini berdepan pelbagai cabaran termasuk usaha pihak luar yang cuba merendah-rendahkan kualiti minyak sawit negara.

Menteri Besar, Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, beliau difahamkan, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah mengambil pelbagai langkah dan pendekatan demi menangani serta mengatasi segala cabaran dalam industri berkenaan.

"Antaranya, MPOB menjalankan pelbagai program untuk membantu pengusaha atau penggiat sawit, dengan misalnya menganjurkan kempen larangan berurus niaga Buah Tandan Sawit (BTS) mentah. Dalam hal ini, pengilang digalakkan memulangkan sahaja ‘consignment’ BTS mentah kepada pihak pembekal.

"Pada peringkat awal pengenalan kempen ini saya difahamkan, ia menimbulkan banyak masalah tetapi hari ini, pengusaha atau penggiat sawit didapati telah sedar lalu menerima larangan ini sebagai antara langkah dan usaha MPOB untuk memperbaiki mutu industri sawit," katanya ketika berucap merasmikan Kempen Healthy Sawit (Lmpoc) 2019 di Kompleks Belia dan Sukan Pahang di sini hari ini.

Kempen itu merupakan anjuran Persatuan Pengilang-Pengilang Kelapa Sawit Pahang-Terengganu (PTPOMA).

Yang hadir sama, Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran negeri, Abd. Rahim Muda dan Pengerusi PTPOMA, Datuk Michael Lim Lian Seng.

Wan Rosdy berkata, program anjuran PTPOMA hari ini merupakan antara usaha untuk memberi kesedaran kepada pengusaha atau penggiat sawit dan orang ramai, tentang pentingnya syor-syor yang ditetapkan di bawah pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

Usaha itu katanya, demi menjamin mutu minyak sawit pasaran tempatan dan global sentiasa tinggi serta selamat, hingga boleh terus memikat pengguna sama ada dari dalam dan luar negara, untuk terus memperolehinya lalu meningkatkan lagi pasarannya.

"Sesungguhnya, pengeluaran minyak sawit Malaysia secara mampan merupakan langkah penting bagi menangani cabaran perdagangan minyak sawit secara global," katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, kelapa sawit merupakan tanaman paling luas ditanam di negeri ini iaitu kira-kira 818,986 hektar dan 203,000 hektar daripada jumlah tersebut terdapat di tanah rancangan Felda.

"Selain itu, kira-kira 615,986 hektar lagi, ditanam di estet-estet milik swasta, dan dalam ladang-ladang milik agensi kerajaan Persekutuan seperti RISDA dan FELCRA, serta yang dimiliki oleh syarikat-syarikat berkaitan kerajaan negeri seperti Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP), Yayasan Pahang dan Pebbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP)," katanya.


Subscribe to receive free email updates: