Update [MUADZAM SHAH] PERTIMBANG SEMULA KEPUTUSAN GABUNG KAMPUS UNITEN >> Berita Malay 18



logo UNITEN



Pengurusan Universiti Tenaga Nasional (Uniten) diminta mempertimbangkan semula pelaksanaan Operasi Kampus Berpusat menerusi penggabungan dua kampusnya di Rompin, dekat sini dan Putrajaya.

Operasi baharu itu yang diumumkan oleh Pejabat Naib Canselor Uniten pada Sabtu bakal menyaksikan Kampus Sultan Haji Ahmad Shah (KSHAS) di Muadzam Shah, Rompin dan Kampus Putrajaya disatukan sebagai satu entiti di Putrajaya.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam Shah, Dato' Sri Maznah Mazlan berkata, keputusan itu memberi banyak kesan khususnya kepada penduduk sekitar selain keputusan sebesar itu seharusnya mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri Pahang.

“Perkara ini melibatkan amanah kerajaan negeri iaitu tanah seluas 67 hektar yang diperuntukkan untuk tujuan pembangunan pendidikan tidak disia-siakan dan jika mereka ada masalah, perbincangan boleh dilakukan untuk mencari penyelesaian.

“Saya yakin pihak Uniten memahami sebab dan peranan KSHAS dibina di Muadzam Shah dan memohon supaya mereka meletakkan kepentingan rakyat terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita di sini.

Menurut Maznah TNB perlu kembali kepada tujuan asal penubuhan KSHAS iaitu memberi peluang kepada lebih ramai pelajar untuk menyambung pelajaran selain meningkatkan ekonomi luar bandar, yang mana kampus itu antara pemangkin ekonomi di Muadzam Shah.

“Jika rancangan itu diteruskan, sejumlah pekerja kontrak yang kebanyakkannya adalah penduduk tempatan akan kehilangan sumber pendapatan selain menjejaskan peniaga dan pembekal perkhidmatan di sekitar KSHAS.

“Secara keseluruhan ekonomi sekarang memang sukar tetapi saya percaya ini masa untuk meneroka dan memikirkan sesuatu bersama bagi menjadikan KSHAS sebagai pusat kecemerlangan ilmu dengan berpegang kepada matlamat asal penubuhannya,” katanya.

Lembaga Pengarah Uniten yang bersidang pada 24 Sept lalu telah meluluskan inisiatif ‘Reimagining Uniten’ dan memberi mandat kepada pengurusan Uniten untuk melaksanakan Operasi Kampus Berpusat

yang dijangka akan dilaksanakan secara berperingkat mulai Jun 2020.

Keputusan itu, menurut Uniten dilakukan untuk melonjakkan nama universiti untuk berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa, khususnya dengan cabaran semasa landskap pendidikan tinggi negara masa kini.


Subscribe to receive free email updates: