Update PM PERLU PANTAU GELAGAT AHLI PARLIMEN TERMASUK MENTERI DAN TIMBALAN >> Berita Malay 18






Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Seri Dr Adham Baba melahirkan kekecewaan terhadap apa yang berlaku pada sidang parlimen sesi perbahasan Belanjawan 2020 apabila isu ketiadaan menteri atau timbalan terus menjadi bualan yang tidak seharusnya berlaku.

Serentak itu, beliau menggesa agar Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memandang serius soal berkenaan dan melihat telatah dan gelagat Ahli Parlimen kerajaan termasuk menteri dan timbalan menteri supaya hadir mendengar sendiri perbahasan dan juga kritikan yang disampaikan.

“Kita telah pun menyaksikan sendiri dalam perbahasan kali ini penglibatan pembangkang yang berbahas di depan kerajaan yang tiada… (menteri atau timbalan menteri). Ini menunjukkan bahawa kerajaan hari ini tidak serius mahu mendengar pandangan serta perbahasan oleh Ahli Parlimen pembangkang yang bukan sahaja ada kelebihan fakta dan maklumat malah boleh menjawab serta mengusulkan perkara-perkara yang lebih baik dibentangkan.

“Contoh ketika Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berbahas tidak ada Ahli Parlimen atau ‘cabinet member’ ataupun paling kurang timbalan menteri berada di depan beliau dan semasa ketua pembangkang sendiri di dapati bahawa hanya TPM seorang sahaja,” katanya kepada UMNO-Online.

Tambah Adham apa yang dibahaskan oleh Ahli Parlimen pembangkang mempunyai pelbagai fakta dan juga membawa apa yang disuarakan oleh rakyat di akar umbi.

“Kita lihat pada Bajet 2019 (ketika BN menerajui negara), apabila pembangkang yang menyerang dengan perkataan yang sadis dan sebagainya namun kita berada di depan mendengar sedangkan kali ini apabila kita berhujah sebaliknya pula,” ujarnya.

Pada masa yang sama beliau melihat ketidakkeseriusan ahli-ahli parlimen pembangkang yang mendengar dan meneliti belanjawan yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

“Sewaktu pembentangan kita senyap, bukan bermakna kita diam tetapi kita mendengar betulkah belanjawan itu belanjawan atau ‘belanjakawan’. Kalau ‘belanjakawan’ kita nak bantah kerana belanjawan yang dibentangkan mestilah yang terbaik.

“Diperingkat awal lagi kita dah melontarkan kritikan kerana menyentuh kerajaan lama seolah-olah kerajaan lama menjahanamkan negara sedangkan kita lihat… tahniahlah kepada kerajaan PH kerana hutang sudah mencecah RM1 trilion waktu ini,” tambahnya.

Khamis lalu, suasana yang cukup memalukan apabila loceng Parlimen terpaksa dibunyikan menandakan Ahli Parlimen tidak cukup bagi meneruskan persidangan dalam Dewan Rakyat.

Bagi Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hal tersebut adalah sesuatu yang memalukan dan tidak patut berlaku kerana bukan pembangkang sahaja sudah menegur tetapi ada juga Ahli Parlimen kerajaan sendiri telah mengkritik kerana sejak Isnin, kehadiran Ahli Parlimen amat mengecewakan.

“Apa yang jadi ini adalah sejarah hitam buat Parlimen bila tidak cukup korum untuk bersidang. 26 orang pun tidak ada untuk mendengar perbahasan sedangkan ini perbahasan yang amat penting iaitu tentang bajet,” katanya.


Subscribe to receive free email updates: