Update Sarapan percuma sepatutnya untuk murid miskin, tidak berkemampuan >> Berita Malay 18

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan perlu memastikan Program Sarapan Percuma yang dijangka bermula tahun depan di sekolah hanya menyasarkan murid yang miskin dan kurang berkemampuan.

Datuk Salim Sharif (BN-Jempol) ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 berkata sehingga ini, program berkenaan dilihat tidak praktikal berbanding skim Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang dilaksanakan sebelum ini yang dikhususkan untuk murid dari keluarga miskin.

Program Sarapan Percuma pula katanya akan turut membabitkan murid kaya yang tidak berhak kepada bantuan seperti itu.

“Dulu kita ada RMT, hanya (untuk) orang susah, miskin dan perlu dibela dapat (RMT). Hari ini, (murid) susah, senang, kaya, anak menteri, anak wakil rakyat semua dapat.

“Hari ini anak wakil rakyat Lipis (Datuk Abdul Rahman Mohamad) pun dapat, malu tak? Kalau anak wakil rakyat makan pun (dia) malu sebab tahu ini bukan hak dia, ini hak rakyat yang susah,” katanya memberikan contoh.

Justeru, beliau mahu Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, menyemak semula perkara itu supaya peruntukan lebih RM1 bilion yang diperuntukkan kepada Program Sarapan Percuma itu dapat digunakan sepenuhnya untuk membantu murid yang miskin dan tidak berkemampuan.

Sementara itu, Sabri Azit (PAS-Jerai) dalam perbahasannya pula menggesa Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengambil tindakan tegas terhadap syarikat yang dilantik membekalkan benih padi kepada pesawah kerana gagal melaksanakan tanggungjawab mereka.

Ini berikutan masih banyak kawasan yang tidak menerima benih padi yang sekali gus menyebabkan pesawah lebih tertekan.

“Saya menuntut penjelasan kementerian. Adakah kekurangan bekalan (benih padi) disebabkan wujud unsur monopoli syarikat hingga gagal memenuhi permintaan membekalkan benih padi.

“Saya mohon kementerian menamakan syarikat terbabit dan dikenakan tindakan tegas kerana melanggar syarat kontrak, gagal membekalkan benih padi kepada pesawah,” katanya.

Subscribe to receive free email updates: