Update RAKYAT MUAK POLITIK MURAHAN PH, PRK TG PIAI BUKTI ZAHIR PENOLAKAN >> Berita Malay 18





Ketua Pemuda UMNO Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata rakyat semakin muak dengan politik murahan Pakatan Harapan (PH) yang hanya pandai menabur janji sebagaimana dizahirkan menerusi penolakan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai baru-baru ini.

Jelas beliau, tindak-tanduk kerajaan PH ternyata tidak disenangi oleh rakyat dan akhirnya pengundi Tanjung Piai telah ‘menghukum’ kerajaan hari ini dengan memberikan undi yang cukup besar kepada Barisan Nasional (BN) sebagai tanda ketidakpuasan hati dan isyarat daripada rakyat di akar umbi.

“Kemenangan ini juga adalah manifestasi ataupun isyarat kepada Putrajaya bahawa rakyat tidak selesa dengan kepimpinan kerajaan hari ini. Walaupun pelbagai persepsi negatif cuba dimainkan pihak lawan terhadap BN, namun rakyat lebih mengenali dan meyakini keupayaan BN.




“Pengundi Tanjung Piai juga membuktikan bahawa calon BN Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng yang pernah menjadi wakil rakyat selama dua penggal adalah pemimpin yang berwibawa dan berkhidmat kepada rakyat tanpa mengira kaum dan agama,” katanya kepada UMNO-Online, di sini.

Hairi turut menjelaskan isyarat yang ditunjukkan oleh pengundi membuktikan mereka bukanlah mudah untuk ditipu dan pada masa yang sama pengundi bijak dalam membuat penilaian yang terbaik untuk kepentingan masyarakat Parlimen Tanjung Piai.

“Pengundi Tanjung Piai tidak mudah ditipu lagi oleh PH biarpun telah pelbagai janji-janji lain ditaburkan. Dengan apa yang berlaku, Pemuda UMNO Johor bertekad untuk menjadikan bumi Johor kembali sebagai kubu kuat BN yang mana negeri kelahiran parti keramat UMNO.”




Dalam masa yang sama, Hairi sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi-pengundi Tanjung Piai kerana berani membuat keputusan yang tepat dan memberi kemenangan kepada Dr Wee pada PRK Tanjung Piai baru-baru ini.

Pada PRK Parlimen Tanjung Piai 16 Nov lalu, wakil BN, Dr Wee memperoleh kemenangan dengan majoriti sebanyak 15,086 undi berbanding lima yang lain termasuk calon PH, Karmaine Sardini yang memperoleh 10,380 undi.

Terdahulu, BN telah berjaya mencipta hatrik kemenangan menerusi PRK di Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau.


Subscribe to receive free email updates: