Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican melihat perkhabaran terkini mengenai tindakan Tabung Haji (TH) untuk mencari formula baru dalam mengurus ‘subsidi’ mengerjakan haji mendatangkan kerisauan kepada banyak pihak; terutama mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.
Katanya, TH jangan terlalu ghairah dengan usaha mengecilkan jurang defisit aset dan liabiliti, memungut untung sukuk serta mengecilkan hibah bagi mencantikkan lejer untung rugi.
“Kewibawaan TH memang amat sukar diragui. Sejarahnya cukup panjang mengurus jemaah haji rentas generasi. Sebab itu, apabila TH mengeluh kesah dengan keadaan ekonomi, pihak kerajaan mesti cepat mengambil tindakan dan tidak membiarkan ia terus bergelumang dengan masalah.
“Kita juga faham, memang ada tindakan kerajaan, tapi apakah ia mampu mengangkat kembali TH di landasan sebenar mandat Akta 535 (Akta Tabung Haji 1995)?” soalnya dalam kenyataan menerusi laman Facebook beliau.
Jelas beliau, apabila TH kelihatan akan gagal meneruskan subsidi haji menyeluruh seperti kebiasaan maka ia mengecewakan ramai pihak.
“Pengurusan baru TH kelihatan seperti melempar ‘tuala putih’ dalam mengurus fungsi tradisi TH.
“Kita mengharapkan pengurusan TH akan melihat semula wibawa ekonomi TH secara keseluruhan kerana sebolehnya, jangan hilangkan sama sekali teras subsidi yang disediakan selama ini.
“TH perlu juga mengambil kira kebolehpercayaan, harapan dan amanah yang diberikan jutaan pendeposit kerana impian mereka ke tanah suci dengan menabung di TH secara berdikit-dikit seakan menjadi semakin kabur.
Mungkin juga, katanya ‘subsidi haji’ inilah punca ‘keberkatan’ ekonomi yang berpanjangan kepada TH dan negara.
“Konsep ‘istito’ah’ (berkemampuan) itu memang mudah dijadikan landas fikir tetapi ia juga perlu disulami dengan niat kerajaan membawa ‘rahmah’ dan keberkatan kepada sekalian rakyat.
“Kalaupun mungkin perlu dilaksanakan pengurangan subsidi, lakukan dengan penuh hemah dan hati-hati. Mungkin boleh diperkenalkan ‘tiers’ atau pemeringkatan subsidi yang lebih bersasar,” katanya lagi yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas.
Terdahulu beliau turut menjelaskan bahawa TH mempunyai misi yang sangat jelas iaitu memperkasa ekonomi ummah, mencari pelaburan strategik, menggembleng dan memperkaya modal pendeposit, memberi perkhidmatan cemerlang dan menyempurna urusan jemaah di samping memberi pulangan kompetitif.