Update Misi saya sudah selesai kata Zahid Hamidi >> Berita Malay 18

KUALA LUMPUR: Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi memberitahu pemberita “misi saya sudah selesai” ketika meninggalkan kediaman calon perdana menteri Muhyiddin Yassin, selepas hampir 2 jam bersama bekas timbalan presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dan ahli politik lain di sana.

Tidak lama kemudian, sorakan kedengaran dari kediaman itu selepas Istana Negara mengumumkan presiden PPBM itu mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Bekas naib presiden PKR, Zuraida Kamaruddin keluar daripada kediaman Muhyiddin kepada pemberita yang menanti.

“Kerja keras kita selama seminggu berjaya angkat Muhyiddin sebagai perdana menteri,” katanya.

Istana Negara petang tadi mengumumkan ia yakin dengan sokongan kepada Muhyiddin, selepas mendapat representasi daripada semua ketua-ketua parti politik mewakili parti masing-masing serta ahli-ahli Dewan Rakyat yang bebas

“Pada hemat Seri Paduka Baginda, ahli Dewan Rakyat yang mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat ialah Mahiaddin (Muhyiddin) Md Yasin, ahli Parlimen Pagoh,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Ahmad Fadil Shamsuddin.

Subscribe to receive free email updates: