Update Pereka fesyen terkenal, design baju PPE untuk barisan hadapan >> Berita Malay 18




Terdorong rasa simpati petugas hospital jahit PPE sendiri, pereka fesyen tampil membantu.
Simpati Lihat Jahit PPE Sendiri, Pereka Terkenal Radzuan Radziwill Tampil Bantu Petugas Kesihatan

Hari demi hari, kes positif COVID-19 semakin meningkat membuatkan bekalan pakaian perlindungan diri (PPE) untuk kegunaan petugas barisan hadapan di hospital semakin berkurangan.

Melihat usaha petugas hospital yang terpaksa menjahit PPE mereka sendiri kerana keperluan tidak mencukupi, telah mendorong pereka fesyen terkenal, Datuk Radzuan Radziwill mengambil inisiatif memulakan projek amal ini.


Beliau membantu dengan menjahit pakaian perlindungan diri kepada petugas barisan hadapan. Menurut beliau, setiap hari beliau mampu menyiapkan 50 pasang jubah luar PPE.

Projek ini dijalankan sejurus Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasakan dengan bantuan rakan seorang doktor yang bertugas di Hospital Serdang.


“Rakan saya memberi maklumat mengenai ukuran, material dan maklumat pembekal.


Sehingga kini, lebih 200 pasang sudah disiapkan dan saya mahu menghasilkan 1,000 atau 2,000 pasang jubah luar, topi dan tudung untuk diberikan kepada petugas yang memerlukan.

Saya juga berharap rakan pereka fesyen lain atau sesiapa saja dapat membantu menjahit PPE ini kerana saya difahamkan setiap hari di Hospital Serdang dan Hospital Sungai Buloh mereka memerlukan 400 helai berikutan ia adalah pakai buang,” katanya .

Pereka fesyen itu memaklumkan beliau sudah pun membeli tiga gulung kain yang mempunyai kira-kira 3,000 meter material non-woven untuk dijahit menjadi PPE.


Menurutnya, material kalis air seperti kertas dan plastik itu sama jenis yang digunakan oleh petugas hospital dan setiap hari beliau berjaya hasilkan sehingga 50 pasang jubah dalam pelbagai saiz dari S hingga XL.

Tambah beliau, kemahiran dan kepakaran beliau digunakan untuk membantu jururawat adalah kerana perasaan simpati dan sayu melihat mereka yang terpaksa menjahit sendiri dalam keadaan tidak cukup rehat dan kepenatan.

Beliau juga tidak mempunyai masalah membeli bahan yang penting untuk menjahit ketika ini. Namun begitu, agak susah baginya untuk mendapatkan getah berikutan banyak kedai barangan jahit telah tutup dan pergerakan beliau terbatas kerana PKP.

“Cuma jika lebih ramai pereka dan tukang jahit dapat bersama melakukan projek ini, saya yakin lebih ramai dapat memberikan sumbangan untuk petugas barisan hadapan sekali gus meringankan kesukaran mereka memperoleh bekalan PPE mencukupi.


Lagipun rekaannya ringkas dan tidak rumit hanya perlu pastikan material tidak terkoyak, jadi jika lebih ramai orang dapat menyumbangkan kemahiran dan kepakaran, lebih banyak hospital dapat kita bantu, apatah lagi tempoh PKP ini masih berbaki dua minggu,” katanya.


Rakyat dinasihati untuk menjaga kebersihan dan kesihatan diri sepanjang tempoh PKP ini berjalan. Pastikan anda memahuti peratuhan yang telah diarahkan oleh kerajaan.

Subscribe to receive free email updates: