Update Rangka manusia berhelmet dijumpai di dalam longkang lebuhraya KL-Seremban >> Berita Malay 18

Polis tiba di lokasi penemuan rangka manusia bertopi keledar di KM281.9 dari Bandar Ainsdale ke Nilai pada Sabtu.
Rangka manusia berhelmet dijumpai di longkang lebuhraya KL-Seremban

Satu rangka manusia yang masih bertopi keledar dijumpai di dalam longkang tengah pembahagi lebuhraya Kuala Lumpur – Seremban di KM281.9 dari Bandar Ainsdale ke Nilai semalam.

Menurut laporan polis, rangka manusia itu ditemui pekerja PLUS Malaysia Bhd yang sedang melakukan kerja menaik taraf lebuh raya berkenaan kira-kira 11.30 pagi Sabtu.


Bagaimanapun, tiada motosikal, serpihan kaca atau kerosakan dijumpai pada penghadang jalan di lokasi berdekatan rangka itu.

Susulan itu, pasukan forensik dan pegawai penyiasat jenayah dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan dikerahkan ke tempat kejadian.


Berdasarkan laporan itu, mangsa ialah Ahmad Farid Ahmad Alaudin, 19, berasal dari Durian Tunggal, Melaka dan polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut.


Sementara itu, keluarga mangsa berkata, mangsa ialah anak bongsu daripada 5 beradik dan kali terakhir mereka melihatnya pada 13 Mac lalu.


“Arwah minta izin ayah ibu nak ke kampung kawan sekerja di Tangkak. Ayah dan ibu dengan izin melepaskan arwah pergi. Dua hari kemudian ibu telefon, tapi tak dijawabnya. Ibu bersangka dia baik-baik saja,” tulis kakak mangsa di Facebook.

Beliau berkata, ibunya kemudian menghubungi sepupu mangsa yang bekerja di syarikat sama untuk mengetahui keadaannya.

Katanya, kebiasaannya Farid akan balik ke rumah walaupun lambat menghabiskan kerjanya.

“Bila dah telefon kawan sekerja yang berasal dari Tangkak itu, rupanya mereka tidak jadi ke Tangkak malam itu.

“Selidik punya selidik, rupanya arwah ke Ampang seorang diri. Kawan dia di Ampang adalah orang terakhir yang jumpa dengan arwah. Lebih kurang 3 pagi, arwah gerak dari Ampang untuk balik ke Melaka, mengikut kata kawan arwah di Ampang.”

Beliau berkata, keluarganya membuat laporan polis pada 17 Mac lalu, sehari sebelum perintah kawalan pergerakan berkuat kuasa dan memulakan usaha mencari Farid di Hospital Ampang kerana dimaklumkan mangsa mengalami kemalangan.

“Aida (kakak arwah) keluar masuk turun naik Hospital Ampang dan Hospital Seremban untuk buat pengecaman mangsa kemalangan tanpa identiti, tapi tetap tak jumpa.

“Aida dalam perjalanan balik sepanjang perjalanan memang memandu kereta dengan sangat perlahan sambil memerhatikan di bahu jalan kalau-kalau terjumpa bangkai motor, yang pastinya memang tak jumpa apa-apa.”

Selepas lebih sebulan, katanya, anggota polis dari Durian Tunggal ke rumah mereka pada 4 petang Sabtu untuk memaklumkan penemuan mayat mangsa.


Beliau berkata, jenazah Farid dibawa ke Hospital Seremban untuk dibedah siasat dan dijangka dikebumikan esok.


Subscribe to receive free email updates: