Update PKR sebulat suara tolak Tun Mahathir sebagai calon Perdana Menteri sekali lagi >> Berita Malay 18

PKR tetap mahu Anwar menjadi calon PM
Rasmi: PKR tolak Mahathir sebagai calon PM

Pemimpin-pemimpin pusat dan anggota parlimen PKR menolak Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri sekali lagi.

Perkara itu disuarakan dalam kenyataan mereka sebentar tadi, selepas mesyuarat khas Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan anggota parlimen PKR di atas talian pagi ini.

“Walau bagaimanapun, parti memutuskan untuk tidak menyokong cadangan mencalonkan Tun Dr Mahathir sebagai perdana menteri, dan kekal dengan konsensus Pakatan Harapan mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri,” katanya.

Bagaimanapun, parti itu terbuka untuk berbincang dengan semua pihak termasuk Dr Mahathir “demi usaha menyelamatkan Malaysia dan mengembalikan mandat rakyat ke tempatnya”.

Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke sebelum ini menggesa PKR menyatakan pendirian berhubung tawaran kombinasi Dr Mahathir sebagai perdana menteri dan Anwar sebagai timbalan perdana menteri seperti dibincang dalam mesyuarat PH Plus.

PH Plus merupakan nama yang kini digunakan merujuk gabungan PKR, Amanah DAP dan Mahathir dan penyokongnya, serta Warisan.

Dr Mahathir sebelum ini dikatakan mencadangkan agar beliau diberi enam bulan untuk memimpin sebagai perdana menteri sebelum menyerahkannya kepada Anwar.


Menurut Loke, cadangan itu diterima oleh DAP dan Amanah.

Bagaimanapun, cadangan itu tidak disenangi oleh PKR yang mendakwa bahawa bekas perdana menteri itu sebagai tidak konsisten dalam konsensus sebelum ini, yang menetapkan Mahathir perlu menyerahkan jawatannya kepada Anwar selepas dua tahun ketika kerajaan PH mengambil alih pentadbiran pada 2018.

Kerajaan PH hanya mampu bertahan selama 22 bulan, selepas Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin membawa Bersatu keluar PH, selain bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali dan penyokongnya yang turut mengambil langkah sama.

Sementara itu, PKR juga memberitahu bahawa parti itu terus komited bersama dalam gabungan PH.

"PKR komited untuk terus mengukuhkan PH, dan akan meneruskan usaha menggembleng tenaga dari semua pihak yang sefahaman untuk mengembalikan mandat rakyat ke tempatnya dalam masa terdekat.

"Pada masa yang sama PKR akan terus menumpukan tenaga dan bersiap siaga menghadapi pilihan raya umum mengejut yang mungkin dipanggil pada bila-bila masa," kata kenyataan itu lagi.

Subscribe to receive free email updates: