Update [KUANTAN] 'JANGAN POLITIKAN ISU SUMBANGAN IKHLAS PENEROKA FELDA' >> Berita Malay 18








Pemimpin di Pahang dinasihatkan supaya tidak menjadikan isu peneroka Felda menginfaqkan sumbangan ikhlas yang dianggap sebagai sedekah jariah sebanyak RM300 seorang sebagai bahan politik atau dipolitikkan.

Ketua Penerangan Majlis Belia Felda Wilayah Kuantan, Asrullah Affendi Abdullah berkata, isu mewajibkan potongan sebanyak itu tidak pernah timbul kerana Felda tidak pernah memaksa peneroka untuk melunaskan bayaran sebanyak itu.

Tegas beliau, perkara itu sudah diterangkan secara jelas kepada peneroka oleh pihak pengurusan tanah rancangan Felda dan jawatankuasa kemajuan rancangan Felda.

"Secara jelas dakwaan wajib bayar tidak timbul. Jika peneroka mampu beri sedekah RM100 sahaja, tidak mengapa. Tiada paksaan pun.

"Jadi, ahli-ahli politik terutama DAP jangan jadi hero dalam isu ini. Jangan manipulasikan perkara ini, sebaliknya bantu warga peneroka untuk sama-sama berbuat buat baik serta menyokong penuh perkara baik yang dibawa oleh Felda," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman memuat naik surat di Twitter miliknya dan mempersoalkan mengenai arahan mewajibkan peneroka bersedekah demi mencari 'keberkatan' dalam usaha memulihkan Felda.

Surat itu turut menyatakan, setiap peneroka diwajibkan ke atas diri masing-masing menginfaqkan sumbangan ikhlas yang dianggap sebagai sedekah jariah sebanyak RM300 seorang.

Dalam pada itu, Asrullah berkata, kutipan dibuat bagi membantu golongan memerlukan di semua tanah rancangan Felda di negeri ini dan golongan asnaf yang tinggal di luar tanah rancangan Felda.

Katanya, pihak Felda akan bekerjasama dengan Majlis Agama Islam negeri termasuk kerajaan negeri bagi membantu dari segi agihan sumbangan kepada individu yang memerlukan.

"Jadi, bila kita infaq ia bukan sahaja membantu peneroka yang terkesan akibat pandemik koronavirus (Covid-19), tetapi golongan asnaf di luar daripada tanah rancangan Felda," katanya.

Subscribe to receive free email updates: