Update PAHANG AMBIL BERAT KEBAJIKAN BEKAS KAKITANGAN JASA >> Berita Malay 18








Kerajaan Negeri Pahang di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail berjaya mengambil pendekatan lebih bijaksana dalam membantu kakitangan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Negeri Pahang yang kehilangan pekerjaan ketika pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, sebagai pemimpin yang dekat dengan rakyat, Wan Rosdy mengambil berat dan memikirkan masa depan bekas kakitangan Jasa yang teraniaya dengan mengambil mereka berkhidmat dengan kerajaan negeri.

Menurutnya, Wan Rosdy tetap meneruskan pendekatan tersebut walaupun terpaksa berdikari dari aspek kewangan kerana tidak mendapat bantuan yang sewajarnya daripada kerajaan PH ketika itu.

"Begitulah hebatnya sikap prihatin seorang pemimpin besar terhadap nasib rakyat di bawahnya termasuk dalam membela kakitangan Jasa yang terkesan ekoran perubahan kerajaan selepas PRU14.

"Ternyata kerajaan negeri lebih dahulu membantu mereka sejak dua tahun lalu," katanya melalui kenyataan di Facebooknya, hari ini.

Beliau melontarkan pandangan dalam konteks negeri Pahang itu di sebalik pelbagai reaksi berhubung peruntukan RM85 juta yang disalurkan kerajaan kepada Jasa dalam Belanjawan 2021 baru-baru ini.

"Masing-masing ada pandangan dan hujah sendiri namun saya tidak berhasrat menghakimi pandangan itu sebaliknya lebih untuk mengulas perkara ini dalam konteks Pahang," katanya.

Beliau berkata, ada yang mendakwa peruntukkan kepada Jasa itu terlalu besar sehingga melebihi peruntukan untuk petugas barisan hadapan.

"Justeru, mereka mendesak kerajaan membuat penjelasan lanjut bagaimana peruntukan itu akan dibelanjakan.

"Tidak kurang yang memberi reaksi positif dengan melihat peruntukan itu amat perlu bagi pengambilan kakitangan baharu, penyediaan prasarana digital, pelaksanaan latihan dan modul yang lebih komprehensif serta bagi menampung kos operasi Jasa.

"Malah, mereka juga berpandangan jumlah peruntukan itu tidak perlu dipersoal kerana selama ini tiada yang memikirkan kebajikan kakitangan Jasa yang hilang pekerjaan di zaman pemerintahan PH," katanya.

Subscribe to receive free email updates: