Umno menyifatkan pembangkang cuba memanipulasi laporan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat (AS) hanya untuk mengalih tumpuan daripada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai urus niaga mata wang asing (forex).
Ketua Penerangannya, Tan Sri Annuar Musa berkata, pembangkang dilihat panik dengan RCI Forex dan juga krisis dalaman yang berkaitan dengan keyakinan terhadap pucuk pimpinan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu)."Keputusan Kabinet untuk membentuk RCI bagi menyiasat kerugian Forex yang dialami oleh Bank Negara - ada yang mengatakan pembabitan wang rakyat bernilai sehingga RM100 bilion - telah mewujudkan keadaan panik di kalangan pembangkang.
"Kita semua maklum mengenai dalang yang bertanggungjawab terhadap kerugian besar ini dan pembangkang berada dalam keadaan huru-hara kerana tidak mahu kehilangan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang," katanya dalam satu kenyaan hari ini.
Beliau berkata, pembangkang mengetahui jika kebenarannya diketahui umum, mereka dan kepimpinannya akan ditelanjangkan di khalayak ramai.
"Ini boleh membawa padah besar dalam pilihanraya nanti.
"Oleh itu, mereka tidak mempunyai pilihan lain tetapi untuk mengitar semula laporan DOJ yang bermotivasi politik untuk membangkitkan isu 1MDB yang telah selesai. Ini hanyalah taktik lencongan," ujarnya.
Annuar berkata, pembangkang membuat khianat yang mengaibkan.
"Apa yang dibuat hanya untuk memuaskan agenda politik demi kepentingan diri sendiri.
"Mereka dan proksi merekalah yang bertanggungjawab melibatkan campur tangan negara asing dalam negara kita yang demokratik dan berdaulat ini dengan memberi maklumat kepada DoJ," katanya.
BNM sedia beri kerjasama penuh
Terdahulu, Bank Negara Malaysia (BNM) mengalu-alukan pembentukan RCI menyiasat secara bebas kerugian Forex, sekali gus menyelesaikan kes lebih 25 tahun lalu.
BNM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya akan memberikan kerjasama penuh kepada RCI dengan mengemukakan maklumat seperti dikehendaki undang-undang.
Dalam pada itu, Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kerajaan perlu bertindak dengan menyangkal semua dakwaan berhubung saman sivil yang dikeluarkan DOJ AS secara terbuka.
Ia berikutan pelbagai kenyataan DOJ untuk merampas aset yang berkait dengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).