Perdana Menteri, DS Najib Tun Razak sebentar tadi merasmikan Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak yang akan mengendalikan kes pertama pada 4 Julai depan. Penubuhan mahkamah itu tercetus daripada idea Perdana Menteri sendiri yang diumumkan ketika beliau berucap pada Seminar Jenayah Seksual Kanak-kanak di Kuala Lumpur, Mac lalu.
Mahkamah khas berkenaan bukan sahaja menjadi mahkamah pertama seumpamanya diwujudkan di negara ini, malah yang pertama di Asia Tenggara. Ia diwujudkan bertujuan mempercepatkan tempoh pelupusan kes dan mempercepatkan giliran bagi perbicaraan kes jenayah seksual yang membabitkan kanak-kanak.
Buat permulaan, Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak di Istana Kehakiman Putrajaya ini akan mendengar kes-kes yang berlaku di negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak ini berbeza dengan Mahkamah Kanak-Kanak sedia ada, yang mana mengendalikan kes di mana pelaku jenayahnya adalah kanak-kanak.
Di dalam majlis yang sama, isteri Perdana Menteri, DS Rosmah Mansor turut merasmikan Bilik Permata, iaitu bilik menunggu saksi kanak-kanak ke Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak di Putrajaya.