Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menolak tanggapan mahu menguasai Pakatan Harapan (PH) apabila mencadang dua jawatan utama gabungan itu disandang pemimpin utama parti itu dan menegaskan cadangan melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai presiden PH boleh dikompromi atas semangat mesyuwarah.
"Namun PPBM sedia berkompromi bagi jawatan Presiden PH atas semangat musyawarah," katanya.
Pendirian PPBM ini, jelas beliau telah disampaikan dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan pada 9 Jun 2017.
Justeru, katanya tidak timbul isu PPBM ingin mendominasi PH dengan menguasai jawatan Pengerusi dan Presiden seperti yang diulas oleh beberapa orang tokoh politik dan dilapor oleh media.
Kamarudin merujuk kepada laporan media mengenai struktur Pakatan Harapan yang dicadangkan oleh PPBM dan menegaskan hanya jawatan Pengerusi sahaja dicadangkan PPBM untuk disandang Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menurut beliau, PPBM bersedia untuk menerima struktur kepimpinan PH yang baharu sekiranya dipersetujui secara sebulat suara oleh parti-parti PH yang lain.
"Ini penting untuk memastikan kesepakatan dalam kalangan parti-parti pembangkang dan tumpuan utama diberikan kepada usaha untuk memenangi PRU 14. Buat masa ini, PPBM sedang menunggu jawapan rasmi daripada Sekretariat PH mengenainya," ujar beliau.