Update PAS mahu laksana hudud jika tawan semula Terengganu >> Berita Malay 18

Pesuruhjaya PAS Terengganu berkata beliau pelik dengan kenyataan terbaharu menteri besar baru-baru ini sedangkan Umno dan BN Terengganu tidak menolak atau mengubah, bahkan menerima enakmen tersebut.
Husain-Awang-hududPAS Terengganu menegaskan akan melaksanakan undang-undang hudud yang telah diluluskan 15 tahun lalu jika menawan semula kerajaan negeri dalam pilihan raya umum akan datang.
Pesuruhjaya negeri, Datuk Husain Awang berkata, pihaknya akan meneruskan perancangan yang telah dibuat susulan kelulusan Enakmen Jenayah Syariah oleh Dewan Undangan Negeri pada 2002.
“Insya-Allah, sekiranya kita diberi mandat dan memerintah negeri Terengganu, kita akan terus melaksanakannya.
“Kita akan mewujudkan prasarana-prasarana yang membolehkan undang-undang atau enakmen yang telah diluluskan itu akan dilaksanakan dalam kalangan masyarakat,” kata beliau dipetik Harakah Daily hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman baru-baru ini bahawa Terengganu belum bersedia melaksanakan hukum hudud sebelum kajian mendalam terhadapnya dilaksanakan.
Beliau berkata, keputusan untuk melaksanakan hukum hudud juga hanya ditentukan Dewan Undangan Negeri dan seterusnya perlu mendapat persetujuan Sultan Terengganu.
“Kita sekarang memberi tumpuan kepada Rang Undang-undang (RUU) 355…jika ia diluluskan, baru kita boleh lihat apa yang boleh (hukum syariah) dilaksanakan di bawah RUU kerana tidak mahu terburu-buru dalam soal ini,” kata beliau.
Razif juga berkata, kadar jenayah di Terengganu juga semakin menurun hasil pelaksanaan undang-undang sedia ada.
Husain yang juga bekas Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu berkata, menggubal dan meluluskan dalam sidang DUN adalah satu cabaran ketika beliau mengendalikan persidangan 15 tahun yang lalu.
“Di mana undang-undang ini adalah sesuatu yang baharu yang bagi kita, pihak PAS mempunyai keyakinan ia sesuatu yang terbaik yang kita kemukakan demi kepentingan rakyat dan demi kepentingan negeri dan juga demi kepentingan Allah SWT.
“Tetapi pada masa yang sama, perkara ini bercanggah dengan budaya yang sedia ada dengan negeri, dan bercanggah dengan minda yang telah diasuh oleh penjajah yang begitu lama,” kata Husain.
Namun begitu, beliau bersyukur walaupun ada 4 wakil Umno-BN ketika itu mereka tidak menentang dan menolak enakmen tersebut.
“Kita menjangkakan bahawa tentangan begitu keras, tiba-tiba kita dapati bahawa apa yang berlaku tentangan di dalam Dewan tidaklah seperti yang kita jangka.
Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates: