BUKAN orang bijak pandai pun tahu yang bau busuk dalam Felda Global Ventures Berhad (FGV) datang daripada lembaga pengarahnya dan bukan dari kilang kelapa sawitnya.
Bau busuk itu kini menyebabkan tawaran awam permulaan (IPO) kedua terbesar dunia pada 2012 itu dengan cepat menjadi skandal kedua terbesar selepas syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Terdapat dakwaan rasuah oleh kedua-dua pihak, pengerusi lembaga pengarah FGV Isa Samad dan ketua pegawai eksekutif (CEO) Zakaria Arshad, yang dipaksa bercuti. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah pun memulakan siasatan terhadap perkara itu. Tuduhan itu berterusan sejak dua tahun lalu yang menyaksikan saham syarikat perladangan terbesar dunia menjunam daripada RM5.55 seunit kepada hanya RM1.66 sekarang.
Persoalannya sekarang ialah bagaimana dengan meletakkan Idris Jala di situ dapat membantu menyelesaikan pergelutan dalam lembaga pengarah? Bagaimana beliau boleh bawa FGV keluar daripada masalah pengurusannya.
Pengumuman Pejabat Perdana Menteri itu tidak menyatakan yang lembaga pengarah syarikat dalam senarai awam itu meluluskan peranan bebas Idris untuk memeriksa fakta dan mengesyorkan penyelesaian terhadap penggantungan CEO dan dua lagi pegawai kanan.
Mengapakah pula Putrajaya yang perlu melihat apa sebuah syarikat yang tersenarai di bursa lakukan dengan kakitangannya? Bukankah ini perkara antara pekerja dan majikan.
Bagaimanakah ia akan dapat membantu FGV keluar daripada kekecohan ini? Adakah pemeriksaan faktanya dan syor yang akan dibuat nanti melangkaui lembaga pengarah yang ada isu dengan Zakaria?
Dan adakah ia akan campur tangan dalam siasatan SPRM terhadap urus niaga perniagaan FGV? Atau hanya sekadar sembang-sembang dan menyanyi Kumbaya?
Mudahnya ialah kedua-dua, Isa dan Zakaria diletakkan di tepi dan SPRM masuk buat siasatan terhadap semua tuduhan dan memeriksa dokumen untuk melihat siapa sebenarnya yang bercakap benar.
Read More / Baca Lagi >>