Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok berkata, parti itu sedang berusaha mengatur pertemuan dengan JPPM secepat mungkin untuk mendapatkan penjelasan serta bukti bagi menyokong tuduhan itu.
Naib Pengerusinya, Teresa Kok berkata, DAP sedang berusaha mengatur pertemuan dengan JPPM secepat mungkin untuk mendapatkan penjelasan serta bukti bagi menyokong tuduhan itu.
“Tuduhan ROS tersebut langsung tidak disertakan sebarang bukti. Maka, tuduhan tersebut adalah tidak benar dan merupakan fitnah semata-mata,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sin Chew Daily hari ini melaporkan JPPM membatalkan keputusan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada 2013 kerana mengesyaki wujud “120 cawangan hantu” ketika itu.
Menurut laporan akhbar itu, surat rasmi yang dikeluarkan JPPM kepada DAP Isnin lalu, menyatakan 2,576 perwakilan daripada 865 cawangan menghadiri pemilihan semula CEC yang diadakan pada 15 Disember 2012.
Bagaimanapun, laporan pemilihan semula CEC parti itu pada 29 September 2013 menunjukkan wujud 985 cawangan, tambahan 120 cawangan berbanding 865 cawangan pada 2012 dan jumlah perwakilan yang hadir pada 2 pemilihan semula itu juga menunjukkan perbezaan ketara.
Kok menjelaskan pemilihan semula CEC DAP pada 29 September 2013 berpandukan peraturan yang termaktub dalam perlembagaan parti itu sepenuhnya.
“Juga perlu ditegaskan pihak kami telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada JPPM selama ini. Setiap dokumen dan senarai nama yang diminta daripada DAP, telahpun diserahkan kepada JPPM.”