Pakatan Harapan (Harapan) akan terus komited untuk membela nasib para pekerja baik dan persatuan pekerja di sektor awam mahupun swasta di Malaysia sekiranya gabungan pembangkang itu menang pilihan raya akan datang.
Presiden Harapan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, antara tawaran Harapan kepada pekerja adalah kadar gaji yang adil dan pengukuhan kesatuan sekerja.
"Dasar Harapan yang akan ditawarkan kepada semua pekerja di Malaysia ini akan mensejajari piawaian antarabangsa serta amalan terbaik yang dilaksanakan di negara-negara maju.
"Dasar untuk para pekerja dibawah HARAPAN akan menjamin hak-hak yang lebih adil, saksama dan manusiawi. Rezeki tanah di bumi ini kurniaan Tuhan yang harus dikongsi bersama," ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau pagi tadi telah menyampaikan ucaptama dan merasmikan Seminar Bina Negara di Auditorium Majlis Perbandaran Ampang Jaya.
Suatu rangka usaha akan dirancang Pakatan Harapan untuk menggariskan dasar gaji yang adil dan memastikan hak-hak pekerja terbela untuk dimaktubkan dalam manifestor PRU-14 kelak.
Menurut Ketua Pembangkang Parlimen ini lagi, seminar diadakan itu akan membuka lembaran baru perjuangan hak-hak perkerja di negara ini.
"Isu hak-hak dan kebajikan golongan pekerja akan diberi tumpuan di dalam manifesto Harapan yang akan dibentangkan tidak lama lagi.
"Setiap warganegara berhak mendapatkan hak pekerjaan tanpa sebarang diskriminasi. Usaha ini harus diperkukuhkan tanpa mengenal kaum, jantina dan bentuk fizikal seseorang baik pekerjaan di sektor kerajaan mahupun swasta.
Read More / Baca Lagi >>