Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) mendesak pihak Felda mengisytiharkan kos keseluruhan program tiga hari yang dianjurkan di Putrajaya bermula semalam.
Presidennya, Mazlan Aliman (gambar kanan) berkata, Karnival Ekspresi Felda Negaraku Malaysia yang merupakan rutin tahunan itu bagaimanapun menimbulkan persoalan pada tahun ini memandangkan krisis kewangan yang membadai Felda sekarang.
Beliau juga dimaklumkan setiap kawasan Felda diperuntukkan bas untuk membawa peneroka dan anak mereka ke pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan itu.
"Berapa kos keseluruhan termasuk makan minum mereka?" soalnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.
Karnival sempena sambutan Hari Peneroka Kebangsaan itu mengadakan pelbagai aktiviti seperti jualan murah, pameran serta jualan produk industri kecil dan sederhana.
Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad dilapor berkata, lebih 50,000 pengunjung dijangka hadir ke karnival bertemakan #KamiGenerasiFelda, #KamiSayangFelda dan #FeldaSayangKami itu.
Mengulas lanjut, Mazlan turut difahamkan Perdana Menteri akan membuat pengumuman 'durian runtuh' kepada peneroka pada hari terakhir karnival tersebut.
"Adakah benar jumlahnya RM5,000 setiap peneroka? Adakah ini semua pesta besar-besaran untuk menarik sokongan pengundi Felda demi memastikan BN kekal di kerusi Felda?" tambahnya lagi.
Dalam hal berkaitan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini dilapor akan membuka satu kertas siasatan baharu terhadap Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).
Read More / Baca Lagi >>