Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengelirukan penyokong dan rakyat dengan mencipta persepsi salah, bahawa agama Islam kononnya menyokong Malaysia menjadi “kleptokrasi global”, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.
Ini berhubung kenyataan Abdul Hadi yang membidas tindakan saman sivil ketiga Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) mengaitkan 1Malaysia Developent Berhad (1MDB) sebagai campur tangan asing.
“DAP tidak menyokong sebarang campur tangan asing terhadap hal ehwal domestik Malaysia tetapi kita tidak boleh membiarkan negara berterusan menjadi kleptokrasi global.
“DAP berdiri atas pendirian ini kerana tidak ada satu agama pun yang menyokong rasuah dan atau kleptokrasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini dilapor Roketkini.
Abdul Hadi seperti dilaporkan media sebelum ini membantah pihak yang didakwanya konon membuka ruang campur tangan asing dalam kemelut 1MDB.
Timbalan Presidennya Tuan Ibrahim Tuan Man kemudiannya mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan Abdul Hadi.
“Kegagalan institusi penguatkuasaan negara kita untuk menyiasat dan bersikap telus dalam skandal 1MDB membuka ruang kepada pihak lain yang sudi menyiasat skandal 1MDB,” kata Tuan Ibrahim seperti dilaporkan media.
Tuan Ibrahim dilaporkan turut mahu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat secara terperinci skandal 1MDB.
Mengulas mengenainya Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah, berkata, tindakan Abdul Hadi bersama Umno dalam mengabaikan nilai dan prinsip Islam yang menentang rasuah dan kleptokrasi amat menyedihkan dan dianggap sebagai tragedi politik.
“Setahu saya, Hadi tidak pernah sekalipun menyatakan kebimbangannya terhadap gelaran kleptokrasi yang terpalit terhadap negara ekoran skandal 1MDB yang dicetuskan Najib,” ujarnya.