Aziz Bari berkata tidak timbul soal mewartakan status Bumiputera kerana India Muslim boleh ditakrifkan Melayu di bawah perlembagaan.
PETALING JAYA: Pakar perlembagaan Prof Abdul Aziz Bari berkata pengumuman Datuk Seri Najib Razak mengkaji rayuan masyarakat India Muslim yang mahu diiktiraf sebagai Bumiputera menunjukkan “kejahilan” mengenai Perlembagaan Persekutuan.
Aziz berkata perlembagaan mentakrifkan seorang Melayu sebagai sesiapa sahaja yang beragama Islam, berbahasa Melayu secara lazim dan mengamalkan budaya Melayu.
Oleh itu, katanya, perlembagaan jelas mengenai status India Muslim sebagai Melayu dan soal status Bumiputera tidak timbul.
“Perkara 153 jelas mengenai kedudukan khas orang Melayu dan pribumi Sabah dan Sarawak, dan kepentingan sah masyarakat lain,” kata ahli akademik itu yang menyertai DAP 2 tahun lalu, kepada FMT.
Katanya, perkara itu perlu dibaca bersama takrif Melayu menurut Perkara 160.
“Ini bermakna seseorang yang beragama Islam, berbahasa Melayu secara lazim dan mengamalkan budaya Melayu adalah Melayu, tidak kira sama ada mereka India Muslim atau Cina mualaf.
“Maka melalui pengumumannya itu, Najib secara tidak langsung mengakui Umno gagal melindungi hak India Muslim, yang mengikut takrif perlembagaan, adalah Melayu dan berhak mendapat hak Melayu.”
Aziz berkata istilah “Bumiputera” tidak wujud dalam perlembagaan dan digunakan Umno selepas 1970 untuk tujuan Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Menurutnya, perlembangan tidak pernah menyebut mengenai hak istimewa Bumiputera kerana ia hanya merujuk secara khusus hak istimewa orang Melayu dan pribumi Sabah dan Sarawak.
Semalam, sejarawan Prof Khoo Kay Kim berkata India Muslim tidak boleh dianggap Bumiputera walaupun boleh dikategorikan sebagai Melayu.
Khoo memberitahu FMT, istilah “Bumiputera” dicipta pada 1963 untuk merujuk kepada pribumi Sabah, Sarawak dan Tanah Melayu, dan sebelum itu orang Melayu di Tanah Melayu hanya dikenali sebagai Melayu.
“Jadi, sementara kerajaan tidak dapat memberikan status Bumiputera kepada India Muslim, ia boleh berikan status Melayu jika mereka mahu,” kata Khoo.
Read More / Baca Lagi >>