Update Komunikasi berterusan bantu ibu bapa tingkat pengetahuan tentang KBAT >> Berita Malay 18

PADANG TERAP 21 Julai – Ibu bapa dan pihak sekolah termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlu berkomunikasi secara berterusan dalam usaha memupuk pen­getahuan tentang kaedah kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) di sekolah.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, penge­tahuan tentang pelaksanaan KBAT harus disemai dalam semua peringkat anggota masyarakat kerana kaedah itu merupakan anjakan paradigma untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara.

“Kaedah berfikir dan cara menjawab dalam KBAT bermula dari peringkat prasekolah di tadika sehingga ke sekolah kebangsaan dan menengah yang dilaksanakan secara berterusan.

“Dalam konteks ini pihak sekolah dan PIBG boleh memainkan peranan untuk berkomunikasi dengan ibu bapa ba­gi memahami KBAT yang dipelajari anak-anak mereka,” katanya selepas Majlis Pemimpin Bersama Jemaah Haji di Kuala Nerang di sini hari ini.

Mahdzir mengulas tentang perkongsian seorang wanita mengenai silibus pendidikan yang didakwanya sebagai ti­dak menepati kemampuan mu­­rid dan rigid yang tular di media sosial baru-baru ini.

Tambah beliau, kemente­ri­an sentiasa bersikap terbu­ka dengan mengalu-alukan rea­­ksi semua pihak berhubung kaedah pembelajaran di negara ini.

“Ibu bapa datang daripada (pendidikan) konvensional, se­­mentara anak pula KBAT, tentu ada sedikit perbezaan pendapat, namun saya kira dari semasa ke semasa semua pihak akan memahami apa yang dibuat kementerian,” katanya.


Subscribe to receive free email updates: