Universiti Malaysia Pahang (UMP) menghasilkan inovasi set pengagihan makanan yang dinamakan Roller Conveyer bagi memudahkan petugas menyediakan juadah untuk dihidangkan kepada jemaah masjid secara kemas, efisien dan selamat.
Set tersebut terdiri daripada bekas periuk paras pinggang dan roller conveyor daripada bahan aluminium yang ringan untuk diletakkan talam hidangan.
Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Dr Ahmad Fitri Yusop berkata, kumpulannya berjaya menyediakan satu set yang terdiri daripada tiga bekas periuk dan dua conveyor belt sepanjang empat meter yang mampu menampung penyediaan 2,000 hingga 3,000 juadah pada satu masa.
Menurutnya, beliau yang dibantu Dr Saiful Anwar Che Ghani berkata, idea asal projek itu hasil cetusan Naib Canselor UMP, Prof Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim dalam lawatannya ketika menyaksikan penyediaan juadah berbuka puasa pada awal Ramadan lalu.
“Kami membentuk kumpulan di fakulti dan akhirnya dapat menyediakan set ini dalam tempoh yang singkat dengan sokongan Dekan FKM, Prof Dr Rizalman Mamat.
“Namun apa yang penting ia dapat memudahkan urusan petugas dengan penggunaannya yang mudah alih. Periuk yang berisi lauk atau nasi ini akan diletakkan di stand ini manakala talam pula akan diletakkan di atas conveyer,” katanya.
Dr Saiful Anwar berkata, dengan konsep tersebut, petugas hanya perlu berdiri untuk mencedok nasi dan lauk dari periuk dan secara selamat dan efisien memindahkannya ke talam untuk dihidangkan.
“Saya harap kemudahan ini dapat menyelesaikan masalah petugas dalam menghidangkan makanan kepada jemaah di masjid,” katanya.