Dr Kamarul Yusoff dalam status Facebooknya pada 25 Mei lalu menuduh Mujahid Yusof Rawa sebagai kuda tunggangan DAP kerana mempertahankan Hannah Yeoh.
Peguamnya, Mohd Fitri Asmuni ketika menyerahkan notis saman kepada timbalan pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini berkata, Mujahid menuntut ganti rugi RM5 juta daripada pensyarah itu kerana memfitnah beliau di Facebook miliknya.
“Mujahid menuntut injunksi menghalang defendan (Kamarul) sama ada menerusi beliau sendiri, ejen, pekerja atau sesiapa daripada menerbitkan kenyataan berbaur fitnah atau apa-apa yang mempunyai kesan terhadap plaintif di media sosial, media cetak atau elektronik.
“Plaintif (Mujahid) menuntut ganti rugi sebanyak RM5 juta, termasuk ganti rugi keterlaluan atau teladan untuk libel,” katanya kepada wartawan di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.
Kamarul menerusi Facebooknya pada 25 Mei lepas menuduh Mujahid kuda tunggangan DAP dan hasil semakan di Facebook pensyarah itu mendapati status berkenaan masih wujud.
Kamarul membuat tuduhan itu ekoran kenyataan naib presiden Amanah itu yang disiarkan portal berita Malaysiakini pada 24 Mei lalu yang membela Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Hannah Yeoh.
Kamarul mendapat perhatian media apabila mendakwa buku karya Yeoh “Becoming Hannah” sebagai cubaan memujuk, mempengaruhi atau menghasut rakyat Malaysia menjadi penganut atau cenderung kepada ajaran Kristian berdasarkan petikan daripada Bible.
Kenyataan Kamarul itu menyebabkan beliau dikecam pelbagai pihak, termasuk Mujahid dan beberapa laporan polis dibuat terhadapnya, termasuk Yeoh sendiri.
Fitri berkata, kenyataan Kamarul berunsur fitnah dan dibuat dengan niat jahat sehingga merosakkan reputasi Mujahid.
Read More / Baca Lagi >>