Update PERPECAHAN TERBESAR KEDUA UMNO SELEPAS 1998 MAMPU TUMBANGKAN BN >> Berita Malay 18


POLITIK naungan dan sentuhan peribadi Barisan Nasional (BN) sememangnya kuat, tetapi perpecahan terbesar kedua Umno selepas 1998 mampu menyebabkan gabungan pemerintah itu kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 (PRU14), kata pemimpin Pakatan Harapan (PH).
Pada 1998 Umno berpecah selepas Anwar Ibrahim dipecat menyebabkan lahirnya Parti Keadilan Nasional (kini PKR) dan lebih 50% pengundi Melayu mengundi pembangkang pada PRU ilihan Raya Umum 1999.
Perpecahan terbesar kedua Umno pada 2015 berlaku ketika kemuncak skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menyebabkan timbalan presiden Muhyiddin Yassin dan naib presiden Shafie Apdal disingkirkan daripada Kabinet dan lahirnya parti Bersatu dan Warisan pada 2016.
Ahli Strategi DAP Liew Chin Tong berkata pada 1999 selepas Anwar dipecat, arus “reformasi” hanya menjadi fenomena di kalangan pengundi Melayu di bandar dan semi bandar.
“Tetapi perpecahan Umno kali ini yang menyebabkan lahirnya Bersatu akan turut memberikan kesan kepada orang Melayu di luar bandar termasuk di kawasan Felda,” kata ahli Parlimen Kluang itu kepada The Malaysian Insight.
“Umno hanya perlu hilang 15% undi Melayu di seluruh negara, dengan sokongan bukan Melayu kekal seperti 2013, PH akan dapat merampas 35 kerusi Parlimen mereka di semenanjung Malaysia.”
Pada PRU13, Umno memenangi 88 kerusi Parlimen daripada 133 yang dimenangi BN. Sementara Pakatan Rakyat (PR) yang terdiri daripada PKR, DAP dan PAS memenangi 89 kerusi Parlimen.
Liew mengakui kekuatan BN terletak kepada sistem naungan dan sentuhan peribadi dan PH tidak mungkin mampu menyainginya daripada segi kekuatan organisasi.
“Tetapi setiap kali BN hilang banyak kerusi pasti disebabkan kemarahan besar rakyat, seperti apa yang berlaku pada 2008  ,” katanya merujuk kepada PRU12 yang menyaksikan BN hilang penguasaan dua pertiga di Parlimen dan lima negeri ke tangan pembangkang.
Perubahan dalam pemikiran Melayu
Ketua Biro Dasar dan Strategi Bersatu Dr Rais Hussin berkata perubahan dalam pemikiran orang Melayu termasuk di luar bandar akan menyebabkan sukar bagi BN jika hanya mengharapkan politik naungan dan sentuhan peribadi.
“Walaupun mereka mungkin tidak begitu memahami skandal mega seperti 1MDB, tetapi sekarang mereka juga semakin kritikal kepada kerajaan disebabkan kehidupan yang terjejas disebabkan peningkatan kos sara hidup,” katanya.
Rais berkata kawasan orang Melayu baik di bandar, semi bandar, luar bandar dan kawasan Felda kini menjadi sasaran Bersatu dan PH untuk memenangi Putrajaya.
Terdapat 54 kerusi Parlimen dalam kawasan Felda dan Umno-BN hanya tewas di enam kerusi iaitu Raub, Kuala Nerus, Temerloh, Dungun, Kulai dan Sungai Siput pada PRU13.
“Perpaduan di kalangan PH yang diketuai Dr Mahathir Mohamad dan manifesto pragmatik dan berkredibiliti yang akan diumumkan tidak lama lagi akan menyebabkan perubahan dalam corak pengundian.
“Pada PRU lepas Umno-BN mendapat 59% kerusi Parlimen walaupun hanya mendapat 47% undi popular disebabkan manipulasi persempadanan semula.
“Kali ini sudah pasti berbeza kerana skandal dan krisis yang berlaku pada hari ini diibaratkan seperti ‘jaringan gol sendiri’ terbesar dilakukan Umno-BN,” katanya.
Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates: